KUALA LUMPUR: Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Dr. Ekrima Sabri menyeru umat Islam dari seluruh dunia untuk bersatu dan berpegang teguh dalam menyelesaikan isu Palestin yang sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian.

Beliau berkata perjuangan isu Palestin akan terus hidup dan tidak akan berakhir kerana ia adalah perjuangan mempertahankan akidah dan iman ummah, serta kewujudan Masjid Al-Aqsa di Palestin.

"Seperti yang kita ketahui, rejim Israel telah melakukan pelbagai langkah untuk menghancurkan Baitulmaqdis. Langkah-langkah ini amat keras dan agresif, di mana mereka mengepung bandar itu dengan mengenakan pemeriksaan tentera dan membina penempatan haram, termasuk menghalang individu daripada memasukinya," kata beliau.

"Namun begitu, penduduk Baitulmaqdis tetap teguh mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, walaupun ditindas oleh rejim Israel dengan kezaliman dan kekejaman," katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam lawatannya ke Malaysia untuk menyertai Persidangan Antarabangsa Palestin, yang diadakan secara maya di Putrajaya, pada 17-18 Jun.

Menurut beliau, rakyat Palestin, walaupun mengalami penderitaan dan jerih yang berterusan, mengeluh tidak pernah ada dalam kamus hidup mereka.

Mengenai lawatannya ke Malaysia, Syeikh Dr. Ekrima merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas pendirian tegas dan sokongan berterusan kepada baitulmaqdis serta perjuangan Palestin.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuangkan setiap hak rakyat Palestin yang berpaksikan kepada keadilan dan menentang sebarang bentuk keganasan serta kekejaman.

Beliau juga berkata Malaysia menyokong penuh dalam merealisasikan aspirasi untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdasarkan sempadan pra-1967 dan Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya.

-- BERNAMA