Skip to main content

Dunia

IMF: AI, harga tenaga, hutang awam jadi faktor utama ekonomi global

Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva berkata ekonomi global turut ditarik dalam dua arah yang bertentangan, iaitu kejutan negatif daripada bekalan tenaga dan kejutan positif daripada permintaan yang didorong AI. - Gambar fail/REUTERS/Elizabeth Frantz
Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva berkata ekonomi global turut ditarik dalam dua arah yang bertentangan, iaitu kejutan negatif daripada bekalan tenaga dan kejutan positif daripada permintaan yang didorong AI. - Gambar fail/REUTERS/Elizabeth Frantz

Advertisement

SINGAPURA: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa ekonomi global kini dipengaruhi tiga faktor utama, iaitu perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), harga tenaga yang kekal tinggi serta paras hutang awam yang mencatat rekod.

Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva berkata ekonomi global turut ditarik dalam dua arah yang bertentangan, iaitu kejutan negatif daripada bekalan tenaga dan kejutan positif daripada permintaan yang didorong AI.

Beliau berkata harga tenaga yang lebih tinggi mendorong peningkatan inflasi, kadar dasar dan keluk hasil penanda aras.

“Ini membawa kita kepada faktor utama ketiga yang mempengaruhi ekonomi global ketika ini, iaitu defisit fiskal berlebihan, paras hutang awam yang mencatat rekod serta kos khidmat hutang yang tinggi.

“Hutang awam global kini menghampiri paras tertinggi sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua dan dijangka melebihi 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global,” katanya dalam pembentangan bertajuk “Outlook for The Global Economy and Policy Priorities” pada Rabu.

Ucapan itu disampaikan di Lee Kuan Yew School of Public Policy di Singapura menjelang Mesyuarat Tahunan IMF 2026 di Thailand minggu depan. Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam turut hadir pada acara berkenaan.

Sementara itu, Georgieva berkata IMF menganggarkan perkakasan AI dan produk teknologi berkaitan kini menyumbang lebih satu persepuluh daripada perdagangan barangan dunia dan terus meningkat.

“Sama ada kita menyukainya, tidak menyukainya atau bimbang mengenainya, AI sudah berada di sini dan berkembang pesat sebagai pemacu utama yang menentukan kedudukan relatif negara dalam ekonomi dunia.

“Pelaburan AI berbanding KDNK global akan menyamai dan berkemungkinan melebihi jumlah yang dibelanjakan untuk membangunkan landasan kereta api, grid elektrik atau rangkaian telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata peningkatan perdagangan berkaitan AI mencerminkan ledakan pelaburan dalam ekonomi yang terlibat dalam rantaian nilainya.

Georgieva turut berkata penyelidikan IMF menunjukkan AI, jika dibangunkan dan dimanfaatkan dengan baik, berpotensi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dunia sehingga setengah mata peratusan setahun dalam jangka panjang.

“Bayangkan pertumbuhan meningkat daripada 3.0 peratus kepada 3.5 peratus -- ia akan menambah sebuah ekonomi sebesar ASEAN kepada ekonomi dunia dalam tempoh sedekad.

“Kita akan terus belajar sepanjang proses ini, namun kita tahu bahawa kesiapsiagaan AI adalah penting, termasuk dari segi infrastruktur digital, kesiapsiagaan pasaran buruh dan perlindungan kawal selia,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement