HYDERABAD: India mengarahkan gergasi media sosial, Meta supaya mengalih keluar semua bahan penderaan seksual kanak-kanak daripada iklan di Instagram susulan laporan bahawa platform itu didakwa mempromosikan kandungan sedemikian.
Menurut agensi berita PTI, Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat mengarahkan Meta supaya "menyahaktifkan semua iklan dan kandungan yang mempromosikan serta memudahkan akses" kepada bahan eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak.
Arahan itu dikeluarkan selepas Menteri Teknologi Maklumat, Ashwini Vaishnaw mengarahkan pegawai memanggil eksekutif Meta susulan kritikan dan laporan media yang mendakwa iklan di Instagram mempromosikan kandungan penderaan seksual kanak-kanak.
Syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang memiliki Facebook, Instagram dan WhatsApp itu turut diarahkan mengambil tindakan segera terhadap kandungan yang diperhebat penyebarannya melalui algoritma, selain mengemukakan maklum balas terperinci kepada kerajaan dalam tempoh tujuh hari, menurut laporan di laman sesawang NDTV.
BBC baru-baru ini melaporkan bahawa Instagram menyiarkan iklan berbayar yang mempromosikan bahan penderaan seksual kanak-kanak di India.
Menurut laporan itu, iklan berkenaan menggunakan istilah seperti "video rogol" dan "video kanak-kanak", selain menghubungkan pengguna kepada saluran di aplikasi pemesejan Telegram yang menawarkan bahan itu pada harga serendah 99 rupee (kira-kira AS$1).
-- BERNAMA