Skip to main content

Dunia

India namakan Pralhad Joshi Menteri Pendidikan baharu

Sumber: FB Pralhad Joshi
Joshi, 64, yang dilahirkan di Karnataka, kini berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Pengguna, Makanan dan Pengagihan Awam. - Facebook Pralhad Joshi
Advertisement

HYDERABAD: Perdana Menteri India Narendra Modi menamakan pemimpin kanan parti yang dipercayainya, Pralhad Joshi sebagai Menteri Pendidikan baharu, menggantikan Dharmendra Pradhan yang meletak jawatan pada Sabtu susulan protes yang diterajui golongan belia selama beberapa minggu berhubung kebocoran kertas peperiksaan.

Menurut Sekretariat Presiden dalam kenyataan pada Sabtu, Presiden India Droupadi Murmu menerima peletakan jawatan Pradhan daripada Majlis Menteri berkuat kuasa serta-merta dan mengarahkan Joshi diberi tanggungjawab menerajui Kementerian Pendidikan sebagai tambahan kepada portfolio sedia ada atas nasihat Perdana Menteri.

Joshi, 64, yang dilahirkan di Karnataka, kini berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Pengguna, Makanan dan Pengagihan Awam.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (BA) dari K.S. Arts College di negeri Karnataka, selatan India.

Menurut laman sesawangnya, Joshi memulakan "perjalanan politik menerusi aktivisme akar umbi dan gerak kerja organisasi bersama Parti Bharatiya Janata (BJP) dan Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS)."

RSS ialah organisasi yang menjadi asas ideologi BJP dan beribu pejabat di bandar Nagpur, negeri Maharashtra di barat India.

Dalam hantaran di platform media sosial X, Joshi memuji Pradhan kerana melaksanakan rombakan struktur pendidikan India oleh kerajaan BJP menerusi "Dasar Pendidikan Kebangsaan (NEP) 2020" yang baharu.

"Sepanjang tempoh perkhidmatannya, NEP 2020 berjaya dilaksanakan bersama lebih 100 pembaharuan besar dan kecil dalam bidang pendidikan," kata Menteri Pendidikan baharu itu.

Ramai pemimpin BJP termasuk Menteri Dalam Negeri Amit Shah, Menteri Pertahanan Rajnath Singh dan Menteri Perdagangan Piyush Goyal turut memuji prestasi serta rekod Pradhan sebagai Menteri Pendidikan menerusi hantaran di media sosial.

Pradhan, yang berkhidmat sebagai Menteri Petroleum sebelum menjadi Menteri Pendidikan pada Julai 2021, meletak jawatan selepas protes selama 36 hari berhubung kebocoran kertas peperiksaan oleh Cockroach Janta Party (CJP), sebuah gerakan berteraskan golongan belia di tengah Delhi.

Beberapa kes kebocoran kertas peperiksaan berlaku di India sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun protes terbaharu tercetus susulan kontroversi membabitkan National Eligibility cum Entrance Test (NEET), peperiksaan kemasukan pengajian perubatan peringkat prasiswazah yang diadakan pada Mei dan menjejaskan lebih dua juta pelajar.

Peletakan jawatan Pradhan merupakan antara tuntutan utama penunjuk perasaan yang turut menggesa pembaharuan sistem pendidikan India.

CJP menyifatkan peletakan jawatan Pradhan sebagai satu kemenangan dan menamatkan protesnya pada Sabtu selepas kerajaan menerima semua tuntutan mereka.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement