Skip to main content

Dunia

Menteri Pendidikan India letak jawatan, protes 'Parti Lipas' ditamatkan

Cockroach Janta Party (CJP) supporters celebrate after the resignation of Education Minister Dharmendra Pradhan over National Eligibility cum Entrance Test (NEET) examination paper leaks, at Jantar Mantar in New Delhi, India, July 25, 2026. REUTERS/Priyanshu Singh
Penyokong CJP meraikan peletakan jawatan Dharmendra Pradhan susulan kontroversi kebocoran kertas peperiksaan di Jantar Mantar, New Delhi, India. - Foto REUTERS
Advertisement

NEW DELHI: Gerakan protes yang diterajui oleh kumpulan satira dalam talian, Cockroach Janta Party (CJP), ditamatkan selepas Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, mengumumkan peletakan jawatannya pada Jumaat.

Peletakan jawatan itu dianggap sebagai kemenangan besar oleh para penunjuk perasaan yang selama lima minggu berkampung di Jantar Mantar, lokasi utama demonstrasi di ibu negara India.

Dalam kenyataannya di platform X, Pradhan berkata beliau menghormati aspirasi dan harapan golongan muda serta mengakui kecewa dengan perkembangan yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Beliau turut menyatakan keputusannya dibuat bagi mengelakkan ketegangan berterusan dan memastikan pelajar dapat memberi tumpuan kepada pendidikan serta masa depan mereka.

Sebaik berita peletakan jawatan itu diumumkan, pengasas CJP, Abhijeet Dipke, mengisytiharkan kejayaan gerakan tersebut di hadapan ribuan penyokong yang kemudian meraikannya dengan sorakan, nyanyian dan pengagihan manisan.

CJP bukan sebuah parti politik rasmi, sebaliknya bermula sebagai kempen satira dalam talian yang menggunakan imej lipas janaan kecerdasan buatan (AI) sebagai maskot.

Gerakan itu berkembang menjadi simbol bantahan golongan muda terhadap isu pendidikan, kebocoran soalan peperiksaan dan peluang pekerjaan di India.

Protes berkenaan mendapat perhatian meluas selepas tindakan keras polis terhadap peserta yang berarak menuju Parlimen pada Isnin lalu menyebabkan puluhan orang cedera dan ratusan ditahan.

Sepanjang demonstrasi itu, CJP menuntut pembaharuan sistem pendidikan, tindakan tegas terhadap kebocoran kertas peperiksaan serta peletakan jawatan menteri pendidikan.

Gerakan tersebut turut mendapat sokongan aktivis terkenal Sonam Wangchuk yang melancarkan mogok lapar pada akhir Jun sebelum menamatkannya selepas kerajaan memberi jaminan untuk meneliti tuntutan yang dikemukakan.

Peletakan jawatan Pradhan disambut baik oleh parti-parti pembangkang yang menyifatkannya sebagai kemenangan gerakan yang dipimpin golongan muda.

Walaupun protes telah ditamatkan, Dipke menegaskan perjuangan mereka masih belum berakhir.

Beliau berkata CJP akan terus menuntut pembelaan bagi pelajar yang terjejas akibat pembatalan peperiksaan serta tindakan terhadap pegawai polis yang didakwa menggunakan kekerasan berlebihan terhadap penunjuk perasaan.

Pemerhati politik melihat perkembangan itu sebagai tamparan kepada kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi, yang sebelum ini jarang berdepan tekanan sehingga memaksa perubahan dasar atau peletakan jawatan menteri kanan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement