NEW DELHI: Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan secara rasmi meletakkan jawatan hari ini selepas berminggu-minggu berdepan gelombang protes besar-besaran daripada golongan belia dan penuntut universiti di seluruh negara.
Peletakan jawatan itu dibuat berikutan tekanan hebat gerakan pejuang hak pelajar, Cockroach Janta Party (CJP), yang menuntut beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas isu kebocoran kertas soalan peperiksaan kemasukan perubatan nasional (NEET) serta pelbagai kepincangan dalam sistem pengujian pendidikan.
Menerusi hantaran di platform media sosial X, Pradhan mengumumkan bahawa surat peletakan jawatannya telah dihantar kepada Perdana Menteri, Narendra Modi demi memelihara masa depan kebajikan pelajar, selain bagi mengelakkan kemarahan anak muda daripada terus dimanipulasi untuk tujuan agenda politik.
— Dharmendra Pradhan (@dpradhanbjp) July 25, 2026
Keputusan itu dilihat sebagai perkembangan penting selepas gerakan protes yang berlangsung lebih sebulan mencetuskan demonstrasi besar-besaran, mogok lapar dan perhimpunan di Jantar Mantar, New Delhi.
Keadaan di ibu negara India itu turut menjadi tegang apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang cuba berarak menuju ke bangunan Parlimen beberapa hari lalu.
Kontroversi kebocoran peperiksaan itu menjejaskan keyakinan terhadap sistem peperiksaan kompetitif India, sekali gus memaksa lebih dua juta calon menduduki semula ujian berkenaan selepas berlaku dakwaan penyelewengan dalam peperiksaan tersebut.
Bagaimanapun, pemimpin protes menegaskan perhimpunan akan diteruskan sehingga beberapa tuntutan lain dipenuhi, termasuk pampasan kepada keluarga yang terjejas akibat krisis itu serta pelaksanaan pembaharuan menyeluruh terhadap sistem peperiksaan negara.