Skip to main content

Dunia

India suarakan bantahan kepada Iran selepas dua kapalnya diserang

Ships and tankers in the Strait of Hormuz off the coast of Musandam, Oman, April 18, 2026. REUTERS
Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata Selat Hormuz akan terus ditutup sehingga AS menamatkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran. - Gambar fail/Reuters

HYDERABAD: India mengemukakan bantahan kepada Iran selepas dua kapal berbendera India diserang ketika melalui Selat Hormuz di tengah-tengah ketegangan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Kementerian Hal Ehwal Luar India memanggil Duta Iran ke India Mohammad Fathali bagi menghadiri pertemuan di New Delhi pada Sabtu petang.

Advertisement

Dalam pertemuan itu, setiausaha luar India menyampaikan “kebimbangan mendalam” negara itu berhubung insiden tembakan yang melibatkan dua kapal berbendera India di selat berkenaan pada Sabtu, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kerajaan India menggesa duta itu menyampaikan pendirian berkenaan kepada pihak berkuasa Iran dan menyambung semula proses memudahkan laluan kapal yang menuju ke India merentasi selat itu secepat mungkin, menurut kenyataan itu.

Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata Selat Hormuz akan terus ditutup sehingga AS menamatkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Jumaat mengumumkan bahawa laluan laut itu dibuka kepada semua kapal dagang bagi baki tempoh gencatan senjata dua minggu yang dipersetujui antara AS dan Iran pada 7 April.

Perkembangan itu berlaku selepas rejim Israel bersetuju menghentikan pencerobohan terhadap Lubnan selama 10 hari.

AS dan Iran kini sedang meneliti kemungkinan mengadakan satu pusingan baharu rundingan di Pakistan bagi merangka perjanjian damai serantau yang stabil.

Bagaimanapun, Iran tidak berpuas hati terhadap apa yang dianggapnya sebagai pelanggaran gencatan senjata oleh AS.

Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf, yang juga perunding utama dalam rundingan terbaru di Islamabad dengan pasukan Presiden AS Donald Trump, berkata laluan melalui selat itu akan dijalankan berdasarkan “laluan yang ditetapkan” dan dengan “kebenaran Iran”.

“Sama ada selat itu dibuka atau ditutup, dan peraturan yang mengawalnya akan ditentukan di lapangan, bukan di media sosial,” katanya, merujuk kepada dakwaan Trump mengenai pembukaan semula selat itu.

India, pengguna tenaga ketiga terbesar dunia, memperoleh sebahagian besar bekalan minyak dan gasnya melalui selat itu, yang terletak di sempadan selatan Iran dan mengendalikan kira-kira satu perlima pengangkutan tenaga global.

Dalam insiden yang dilaporkan secara meluas pada Sabtu, kapal berbendera India Jag Arnav dan Sanmar Herald berpatah balik selepas terkena tembakan.

“Kami memberi amaran bahawa tiada kapal dalam apa jua bentuk dibenarkan bergerak dari tempat berlabuh di Teluk Parsi dan Laut Oman, dan menghampiri Selat Hormuz akan dianggap sebagai kerjasama dengan musuh, manakala kapal yang melanggar arahan akan menjadi sasaran,” menurut IRGC.

-- BERNAMA

Must Watch Video