Skip to main content

Dunia

Indonesia berjaya kawal titik panas kebakaran di Taman Negara Bromo

51694341673_gunungBromo.jpg
Operasi pemadaman kini tertumpu kepada baki titik panas aktif yang masih dikesan di kawasan tarikan pelancong tersebut. -Gambar fail
Advertisement

MALANG: Pihak berkuasa Indonesia berjaya mengawal titik panas kebakaran hutan di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, sekali gus menghalang kebakaran daripada terus merebak selepas menjejaskan kawasan seluas 899.35 hektar, lapor ANTARA.

Komander Sektor Tindak Balas Kebakaran Hutan dan Tanah Taman Negara, Kolonel Inf Wahyu Ramadhanus Suryawan berkata kebakaran yang bermula pada 3 Ogos lalu itu menjejaskan 817.342 hektar di kawasan Watangan, 25.393 hektar di Argowulan dan 56.65 hektar di Dingklik, Pakis Bincil serta Mungal.

Beliau berkata operasi pemadaman kini tertumpu kepada baki titik panas aktif yang masih dikesan di kawasan tarikan pelancong tersebut.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama kementerian kerajaan, tentera, polis dan pihak berkuasa dari empat daerah iaitu Probolinggo, Pasuruan, Malang dan Lumajang.

Bagaimanapun, Suryawan berkata operasi pemadaman masih berdepan cabaran akibat angin kencang dan cuaca musim kemarau yang berterusan.

Selain itu, kabus tebal di lokasi kejadian turut mengehadkan jarak penglihatan juruterbang helikopter yang menjalankan operasi pengeboman air dari udara.

Beliau berkata penggunaan dua helikopter pengebom air dioptimumkan pada Selasa berbanding tiga sebelum ini bagi menyesuaikan operasi dengan keadaan cuaca semasa.

“Keutamaan kami ketika ini ialah memutuskan laluan kebakaran supaya api tidak merebak ke kawasan tumbuhan yang belum terjejas,” katanya.

Siasatan awal turut mendapati faktor semula jadi dipercayai bukan punca utama kejadian memandangkan beberapa kawasan di Bromo masih mengekalkan kelembapan tanah walaupun dalam musim kemarau.

Beliau berkata pihak berkuasa telah menyediakan langkah pencegahan tambahan termasuk rondaan berkala, penempatan anggota di lokasi strategik serta penyelarasan maklumat kepada orang ramai bagi mengelakkan kebakaran berulang.

 

Must Watch Video

Advertisement