JAKARTA: Indonesia, negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, akan terus mengamalkan dasar luar berkecuali dan mengekalkan pendirian tidak berpihak di tengah-tengah ketegangan geopolitik global, serta kekal di luar mana-mana blok ketenteraan.
Berucap pada perjumpaan bersama Dewan Perdagangan dan Industri Indonesia pada Jumaat, Presiden Prabowo Subianto berkata dasar itu merupakan warisan pengasas negara berkenaan yang memilih untuk tidak menyertai mana-mana blok atau pakatan ketenteraan.
"Peperangan besar sedang berlaku di mana-mana, jutaan orang telah menjadi korban, dan kita mula memahami bahawa perang di satu bahagian dunia membawa kesan ke seluruh ceruk, menjejaskan harga makanan, harga bahan api dan pelbagai perkara lain," katanya pada perjumpaan yang disiarkan secara langsung menerusi YouTube.
Merujuk kepada perang yang berlanjutan di Ukraine, Gaza dan Asia Barat yang lebih luas termasuk di sekitar Selat Hormuz, selain konflik di Myanmar serta ketegangan berterusan antara Thailand dan Kemboja, Prabowo berkata lanskap geopolitik yang tidak menentu itu menyerlahkan kepentingan Indonesia mengekalkan dasar luar yang diamalkan sejak sekian lama.
"Dasar kita ialah dasar kejiranan yang baik. Kita mahu menjadi jiran yang baik," katanya.
Prabowo berkata pentadbirannya berhasrat mengukuhkan hubungan dengan negara-negara jiran menerusi pendekatan pemulihan dan perdamaian bagi menyelesaikan pertikaian berpanjangan warisan zaman penjajah.
Beliau berkata Indonesia mengekalkan hubungan baik dengan semua kuasa besar termasuk Amerika Syarikat, China, Rusia, Jepun, India dan Australia sambil kekal berkecuali - pendirian yang telah meraih kepercayaan banyak negara kerana Indonesia menghormati kedaulatan negara lain dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman mereka.
-- BERNAMA