Ringkasan AI
- Pihak berkuasa Belanda menawarkan ganjaran €2 juta untuk maklumat yang membawa kepada penahanan Jos Leijdekkers, buruan utama sindiket kokain antarabangsa.
- Leijdekkers dijatuhi hukuman penjara 24 tahun di Belanda dan 79 tahun di Belgium atas kesalahan penyeludupan dadah dan jenayah terancang.
- Belanda menuntut ekstradisi Leijdekkers dari Sierra Leone, namun negara itu enggan bekerjasama sehingga menimbulkan ketegangan dengan EU.
AMSTERDAM: Pihak berkuasa Belanda menawarkan ganjaran rekod sebanyak €2 juta (kira-kira RM9.13 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penahanan Jos Leijdekkers, antara buruan paling dikehendaki di Eropah yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan kokain antarabangsa.
Leijdekkers, 35, yang turut dikenali dengan gelaran "Bolle Jos" atau "Jos Gemuk", sebelum ini disifatkan polis Belanda sebagai antara pemain utama dalam rangkaian pengedaran kokain antarabangsa.
Menteri Kehakiman Belanda, David van Weel, berkata keputusan menaikkan ganjaran sepuluh kali ganda itu dibuat kerana ancaman yang dibawa Leijdekkers terhadap keselamatan negara, kedaulatan undang-undang serta ketenteraman perundangan antarabangsa.
Pendakwa raya Belanda pula menegaskan bahawa penangkapan Leijdekkers merupakan keutamaan tertinggi pihak berkuasa, sambil memberi jaminan bahawa sebarang maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan.
Leijdekkers turut tersenarai dalam senarai individu paling dikehendaki oleh Europol, agensi penguat kuasa Kesatuan Eropah (EU).
Pada Januari 2025, polis Belanda memaklumkan mereka percaya Leijdekkers sedang bersembunyi di Sierra Leone dan menggunakan identiti baharu dengan nama Omar Sherrif.
Beberapa gambar yang muncul sebelum ini dikatakan menunjukkan beliau berada bersama Presiden Sierra Leone, Julius Maada Bio, serta beberapa pegawai kanan negara itu.
Belanda telah berulang kali menuntut ekstradisi Leijdekkers, namun Sierra Leone dilaporkan enggan memberikan kerjasama.
Ketegangan itu turut mendorong EU mengurangkan sebahagian bantuan kepada negara Afrika Barat berkenaan.
Afrika Barat sejak sekian lama dikenal pasti sebagai laluan transit utama bagi penyeludupan kokain dari Amerika Latin ke pasaran Eropah.
Pada tahun 2024, sebuah mahkamah di Rotterdam menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun terhadap Leijdekkers secara in absentia selepas beliau didapati bersalah menyeludup lebih tujuh tan kokain.
Selain itu, beberapa siasatan lain yang membabitkannya masih berjalan di Belanda.
Di Belgium, Leijdekkers turut dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 79 tahun atas pelbagai kesalahan berkaitan jenayah terancang.
Pihak berkuasa Belanda menganggarkan beliau meraih keuntungan puluhan juta euro daripada kegiatan penyeludupan kokain, selain menuduhnya terbabit dalam pengubahan wang haram serta penggunaan keganasan melampau untuk melindungi operasi jenayahnya.