Skip to main content

Dunia

Indonesia perlu lindungi momentum pertumbuhan ekoran perang di Asia Barat

61454644076_IndonesiaSkyline.jpg
Pertumbuhan Indonesia diunjurkan kekal dalam julat antara 4.9 peratus dengan 5.7 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh. - Gambar fail

JAKARTA: Indonesia perlu mengekalkan momentum pengukuhan pertumbuhan ekonomi susulan perang yang berterusan di Asia Barat memandangkan keadaan ekonomi dan kewangan global terus lembap, menurut Bank Indonesia.

Gabenor Perry Warjiyo berkata kesan kelembapan ekonomi dan pasaran kewangan global akibat perang di Asia Barat perlu dijangka dan diatasi sewajarnya untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Advertisement

Beliau berkata pertumbuhan Indonesia diunjurkan kekal dalam julat antara 4.9 peratus dengan 5.7 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, dengan Bank Indonesia terus memperkukuh gabungan dasar melalui penyelarasan dengan kerajaan bagi mengekalkan kestabilan di samping menyokong pertumbuhan.

“Bank Indonesia akan terus memperkukuh gabungan dasar melalui dasar monetari, makro hemat dan sistem pembayaran yang disepadukan dengan dasar kerajaan untuk mengekalkan kestabilan di samping terus menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya menurut Agensi Berita ANTARA, pada Selasa.

Perry berkata dari segi keadaan domestik, pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2026 diunjurkan kekal agak tinggi, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

Beliau berkata penggunaan isi rumah telah meningkat, dipacu oleh perbelanjaan perayaan, peningkatan pendapatan daripada bayaran sempena musim perayaan, serta perbelanjaan sosial dan insentif kerajaan.

Perry berkata pelaburan dijangka kekal kukuh, didorong projek yang diterajui kerajaan, termasuk Koperasi Desa Merah Putih (KDMP) dan Danantara, bersama-sama program yang menyokong pertumbuhan dan guna tenaga di samping mengekalkan daya tahan fiskal.

Beliau berkata di peringkat luaran khususnya dari segi kadar pertukaran mata wang asing, rupiah susut 1.29 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada Rp16,985 setakat 16 Mac, sejajar dengan penyusutan lebih luas antara mata wang pasaran yang sedang pesat membangun ekoran ketidaktentuan global.

“Bank Indonesia akan terus memperkukuh pelbagai dasar bagi mengekalkan kestabilan kadar pertukaran rupiah daripada kesan kelembapan global akibat perang di Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata bank pusat itu telah meningkatkan intervensi dalam pasaran kontrak niaga hadapan tanpa serahan (NDF) luar pesisir, kontrak niaga hadapan tanpa serahan domestik (DNDF) dan pasaran semerta, di samping mengoptimumkan instrumen monetari untuk menarik aliran masuk modal asing.

“Pelbagai usaha untuk memperkukuh prestasi imbangan pembayaran dijangka dapat menyokong kestabilan kadar pertukaran mata wang asing rupiah.

“Bank Indonesia percaya kadar pertukaran mata wang asing rupiah akan kekal stabil, disokong oleh komitmen bank, pulangan yang menarik serta prospek pertumbuhan ekonomi Indonesia yang memberangsangkan,” katanya.

Susulan semua perkembangan itu, beliau berkata peningkatan harga minyak global telah memberi kesan negatif terhadap rantaian bekalan perdagangan rentas sempadan, yang seterusnya menurunkan prospek pertumbuhan ekonomi global dan meningkatkan tekanan inflasi di seluruh dunia.

Perry berkata pasaran kewangan global juga mengalami kelembapan, yang mencerminkan pengukuhan dolar AS, peningkatan hasil Perbendaharaan AS dan aliran keluar modal daripada pasaran yang sedang pesat membangun.

Beliau berkata akibatnya pertumbuhan global pada 2026 diunjurkan perlahan kepada 3.1 peratus daripada 3.2 peratus sebelum ini, manakala inflasi dijangka meningkat kepada 4.1 peratus daripada 3.8 peratus, sekali gus mengehadkan ruang untuk pelonggaran dasar monetari, termasuk kemungkinan penangguhan pengurangan Kadar Dana Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video