Skip to main content

Malaysia

KUSKOP pergiat usaha bantu peniaga kecil tingkat upaya pengurusan perniagaan

GEORGE TOWN, 14 Mei -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim pada Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata usaha itu dilaksanakan menerusi agensi di bawah kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) termasuk melalui inisiatif ‘Power Up 10K’. - Foto BERNAMA

GEORGE TOWN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempergiat usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan keupayaan pengurusan perniagaan mereka supaya dapat menikmati manfaat daripada pelbagai dasar dan kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata usaha itu dilaksanakan menerusi agensi di bawah kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) termasuk melalui inisiatif ‘Power Up 10K’.

“Fokus yang diberikan bukan sahaja mengenai pembiayaan tetapi pembangunan kapasiti yang merangkumi pemberian ilmu serta kemahiran kepada usahawan-usahawan ini supaya mereka tahu cara untuk mendaftarkan perniagaan mereka.

“Kami bukan sahaja nak bagi pembiayaan dan bantu penskalaan tetapi juga menyasarkan untuk membelanjakan lebih kurang RM100 juta bagi pembangunan kapasiti sekurang-kurangnya 100,000 orang usahawan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (M3PK) di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kementerian berkaitan mengadakan sesi libat urus bersama penjaja bagi mengenal pasti isu yang menyebabkan kadar penyertaan golongan itu dalam program bantuan kewangan formal masih rendah.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata arahan itu diberikan pada mesyuarat Jemaah Menteri susulan kajian dan hasil tinjauan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati hanya lima peratus penjaja menerima bantuan daripada institusi seperti Bank Simpanan Nasional, TEKUN Nasional serta AIM.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata melalui kempen ‘Power Up 10K’, pihaknya menyasarkan untuk membantu usahawan meningkatkan kapasiti dan kebolehdayaan perniagaan melalui latihan, bimbingan dan sokongan kewangan secara menyeluruh.

Sementara itu, Sim berkata beliau telah berjumpa dengan sektor perbankan komersial dan dalam masa beberapa minggu ini, institusi berkenaan akan mengumumkan pelbagai produk untuk PKS bagi membantu sektor itu.

“Setakat April, kami berjaya meluluskan lebih kurang RM4 bilion dari segi pembiayaan kepada 154,000 orang PMKS. Jadi, itu adalah antara pencapaian sekarang dan sasaran kami untuk menyalurkan sehingga RM15 bilion dalam sektor itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video