JAKARTA: Indonesia melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa Indonesia (AID Indonesia) menghantar 10 juta dos vaksin polio ke Afghanistan yang bakal memberi manfaat kepada 3.3 juta kanak-kanak di bawah umur tiga tahun.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan bahawa sumbangan vaksin yang dihasilkan oleh pengeluar vaksin Indonesia Bio Farma itu, memperlihatkan komitmen negara kepada rakyat Afghanistan.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan menyelaraskan pengangkutan dan pengedaran vaksin dengan kerjasama pihak berkuasa Afghanistan.

Menteri Luar Retno Marsudi yang merujuk Program Makanan Sedunia (WFP) menyatakan bahawa Afghanistan kini menghadapi situasi kemanusiaan yang mencabar dengan kira-kira 23.7 juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan.

Beliau menekankan tanggungjawab Indonesia untuk membantu, memetik permintaan daripada Afghanistan untuk sumbangan vaksin polio dan kepakaran Indonesia dalam menghasilkan dan mengeksport vaksin berkenaan.

Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati yang menekankan prinsip pengasas AID Indonesia, menegaskan perpaduan dalam kalangan negara membangun dan penjajaran dengan matlamat di bawah Matlamat Pembangunan Mampan.

Beliau berkata agensi itu telah menyediakan geran pembangunan berjumlah 356.58 bilion rupiah (US$22.87 juta) kepada 49 negara sahabat, termasuk Palestin, Ukraine, Myanmar dan Fiji sepanjang tempoh empat tahun pentadbirannya.

Indonesian AID yang dikendalikan oleh Kementerian Kewangan, menyelia peruntukan dana kerjasama pembangunan antarabangsa untuk membantu kerajaan atau institusi asing.

-- BERNAMA