Skip to main content

Dunia

Indonesia tidak bayar AS$1 bilion untuk sertai Lembaga Keamanan - Sugiono

U.S President Donald Trump, Indonesia's President Prabowo Subianto, Albania's Prime Minister Edi Rama, Saudi Minister of State for Foreign Affairs, Cabinet Member, and Climate Envoy Adel Al-Jubeir, Azerbaijani President Ilham Aliyev, and Jordan's Foreign Minister Ayman Safadi attend the inaugural Board of Peace meeting at the U.S. Institute of Peace in Washington, D.C., U.S., February 19, 2026. REUTERS/Kevin Lamarque
Semasa mesyuarat pertama BoP di Washington, Presiden Prabowo Subianto menegaskan komitmen Indonesia untuk menyumbang sehingga 8,000 tentera, atau lebih jika perlu. - Gambar fail/Reuters

JAKARTA: Indonesia mengesahkan bahawa negara itu tidak membayar sumbangan sebanyak AS$1 bilion untuk menyertai Lembaga Keamanan (BoP), dan menegaskan bahawa jumlah berkenaan bukanlah yuran wajib untuk keanggotaan.

Menteri Luar Sugiono berkata Indonesia kini sudah menjadi ahli lembaga itu dan penyertaan tidak bergantung kepada sebarang sumbangan kewangan tetap.

Advertisement

“Sejak awal saya katakan bahawa ini bukan yuran keanggotaan. Ia bukan syarat untuk menjadi ahli, tidak. Kami sudah menjadi ahli sekarang; walaupun kami tidak membayar, itu tidak mengapa,” katanya dalam sidang media di Washington, Amerika Syarikat (AS), pada Jumaat waktu tempatan.

Rakaman video sidang media itu dimuat naik di saluran YouTube Sekretariat Presiden pada Sabtu.

Sugiono menjelaskan bahawa angka AS$1 bilion itu pernah dibincangkan berkaitan dengan status tetap dalam lembaga berkenaan, namun menegaskan bahawa ia bukanlah satu keperluan atau syarat wajib untuk keanggotaan.

“Sesetengah negara menyumbang wang, ada yang menyumbang pasukan tentera… dan ada yang menghantar sumbangan individu ke sebuah akaun di Bank Dunia,” katanya.

Semasa mesyuarat pertama BoP di Washington, Presiden Prabowo Subianto menegaskan komitmen Indonesia untuk menyumbang sehingga 8,000 tentera, atau lebih jika perlu, untuk mengambil bahagian secara aktif dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza, Palestin.

Mengenai penempatan tentera, Sugiono berkata kos untuk menghantar tentera itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Indonesia.

Beliau berkata, jemputan kepada Indonesia untuk berkhidmat sebagai seorang daripada  timbalan komander ISF adalah satu penghormatan dan pengiktirafan terhadap rekod negara serta reputasi tentera Indonesia dalam pelbagai misi pengaman.

Jawatan itu, katanya akan memudahkan koordinasi dan keberkesanan operasi dalam misi berkenaan.

Sugiono juga mencatatkan bahawa kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Pentadbiran Gaza (NCAG), Ali Shaath, di mesyuarat BoP memastikan wakil Palestin mengetahui dan menerima rancangan untuk menempatkan anggota Indonesia dalam ISF.

Beliau berharap penyertaan Indonesia dalam ISF akan membantu memenuhi seruan Ali Shaath semasa mesyuarat untuk mengekalkan gencatan senjata dan memastikan keadaan yang selamat dan stabil sepanjang proses pemulihan di Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video