JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menutup sementara tapak pelancongan popular, Gunung Ijen di wilayah Jawa Timur selepas kebakaran hutan berlaku berhampiran kawasan itu, kata seorang pegawai tempatan pada Jumaat, lapor Xinhua.
Agensi pemuliharaan Jawa Timur menggantung aktiviti pelancongan ke kawasan rizab alam semula jadi yang merangkumi daerah Banyuwangi dan Bondowoso itu sehingga diberitahu kelak bagi memastikan keselamatan pengunjung, menurut notis yang ditandatangani ketua agensi berkenaan, Nur Patria Kurniawan.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Banyuwangi, Partana berkata, kebakaran merebak berhampiran Pondok Bunder, iaitu antara lokasi penting di sepanjang laluan menuju kawah, menyebabkan pihak berkuasa menutup laluan berkenaan.
Anggota bomba, dengan sokongan trak bomba dan kira-kira 15 pam air yang mampu menyembur air sehingga jarak 15 meter dikerahkan berhampiran lokasi, kata Partana.
Pihak berkuasa turut mempertimbangkan operasi pemadaman dari udara kerana tebing dan gaung menyukarkan beberapa lokasi kebakaran untuk dicapai menggunakan kenderaan, katanya.
Ijen adalah antara tarikan pelancongan utama Indonesia, terkenal dengan fenomena api biru yang jarang ditemukan serta tasik kawah berwarna firus.
-- BERNAMA-XINHUA