MURAH dan mudah disimpan, vaksin Oxford-AstraZeneca merupakan salah satu usaha dalam memerangi COVID-19, tetapi kebimbangan terhadap laporan kes pembekuan darah telah membantutkan pengeluarannya.

Berikut adalah lima fakta mengenai vaksin ini:


Praktikal


Vaksin AstraZeneca berharga sekitar £2.50 (kira-kira RM14) setiap dos dan boleh disimpan pada suhu peti sejuk, menjadikannya sesuai untuk program vaksinasi berskala besar.

Vaksin ini dilapor mendapat kelulusan untuk digunakan di lebih 70 negara.

Lebih 9.2 juta suntikan telah diberikan di negara Kesatuan Eropah (EU), Norway, Iceland dan Liechtenstein.


Kes pembekuan darah

Laporan kes pembekuan darah mendorong banyak negara menghentikan vaksinasi.

Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) memaklumkan setakat 31 Mac terdapat 62 kes direkodkan.

Sebanyak 30 kes direkodkan di Britain, dan tujuh individu dilapor meninggal dunia.

AstraZeneca menegaskan tidak ada bukti risiko pembekuan darah akibat vaksin tersebut.

EMA, yang sebelum ini mengesahkan vaksin itu selamat digunakan, dijangka mengumumkan kemas kini terbaharu pada 7 April ini.


Kelewatan penghantaran

AstraZeneca mengumumkan pada bulan Januari bahawa ia hanya dapat membekalkan satu pertiga daripada 120 juta dos yang dijanjikan kepada 27 negara anggota pada suku pertama.

Pada bulan Mac, Itali menyekat eksport 250,000 dos ke Australia dengan alasan kekurangan dan kelewatan bekalan, dan ia disokong oleh Suruhanjaya Eropah.

Negara anggota EU dijangka menerima 29.8 juta dos vaksin AstraZeneca pada akhir bulan Mac, kata Suruhanjaya Eropah.


Cimpanzi

Vaksin ini merupakan virus-vectored, yang bermaksud ia adalah versi virus yang biasanya menjangkiti cimpanzi dan telah dimodifikasi dengan sebahagian virus COVID-19 yang disebut "lonjakan protein" untuk meningkatkan sistem kekebalan tubuh.

Apabila berada dalam sel manusia, vaksin itu akan membantu merangsang pengeluaran antibodi.

Vaksin itu "selamat dan berkesan", menurut data yang diterbitkan oleh jurnal perubatan The Lancet pada bulan Disember, dengan hanya satu daripada 23,754 sukarelawan yang mengalami "kemungkinan kesan sampingan yang teruk".


Kekeliruan keputusan

AstraZeneca mengumumkan pada bulan November bahawa vaksinnya berkesan kira-kira 70 peratus.

Keberkesanan vaksin AstraZeneca adalah 90 peratus untuk sukarelawan yang hanya menerima setengah dos pada peringkat awal dan kemudian dos penuh sebulan kemudian.

Keberkesanannya pula hanya 62 peratus bagi mereka yang berada dalam kumpulan lain yang diberi dua dos penuh dalam tempoh satu bulan.

Kajian terkini yang dilakukan oleh pihak berkuasa kesihatan di England menunjukkan perlindungan antara 60 peratus dan 73 peratus dalam kalangan individu berusia 70 tahun ke atas, dengan satu dos.

Bulan lalu, AstraZeneca mengumumkan percubaan Amerika Syarikat menunjukkan keberkesanan 79 peratus tetapi kemudian mengubahnya menjadi 76 peratus selepas timbul kebimbangan bahawa beberapa hasil ujian sudah tidak relevan digunakan.