SUSULAN insiden seekor gorila bernama Harambe yang ditembak mati di Cincinnati Zoo di Amerika Syarikat, pihak polis kini menyiasat keluarga kanak-kanak berusia tiga tahun itu, yang didakwa telah menggesa pihak zoo untuk menembak haiwan tersebut demi keselamatan anak mereka.

Pihak polis Cincinnati bagaimanapun menjelaskan bahawa, siasatan mereka hanya berkaitan punca insiden itu (bagaimana insiden itu berlaku dan apa yang dilakukan ibu bapanya), dan bukannya berkenaan operasi ataupun keselamatan di Zoo Cincinnati.

Sabtu lalu, kanak-kanak itu berada dalam kawalan gorila itu selama 10 minit selepas terjatuh ke kandangnya. Bagi menyelamatkan mangsa daripada haiwan berbahaya itu, pihak zoo telah menembak mati Harambe.

“Selepas siasatan, kami akan menentukan sama ada dakwaan itu perlu tindakan selanjutnya,” kata jurucakap polis, Tiffaney Hardy.

“Jika keputusan inkuiri menuntut penjelasan yang lanjut, kami akan membawa isu ini kepada pejabat pendakwa raya daerah Hamilton,” katanya.

Insiden Harambe ditembak mati mendapat kecaman yang hebat daripada netizen terumatanya aktivis haiwan.

Mereka menyifatkan tindakan pihak zoo sebagai tidak bertanggungjawab dan menyalahkan ibu bapa kanak-kanak itu atas kecuaian pasangan itu.

BACA: Kecuaian ibu bapa punca gorila mati ditembak di zoo AS - Aktivis haiwan

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh pihak pengurusan zoo, di sebaliknya mereka mempertahankan tindakan itu atas alasan keselamatan.