JAKARTA: Angka korban tragedi KMP Virgo Transport 8 terus meningkat kepada 52 orang, manakala 108 berjaya diselamatkan dan 83 lagi masih belum ditemukan, ketika pihak berkuasa berusaha mempercepat operasi salvaj.
Penyelaras Misi Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia (Basarnas) I Putu Sudayana berkata 11 mayat ditemukan pada Jumaat, hari ke-13 operasi mencari dan menyelamat, termasuk lima dari bangkai kapal dan enam lagi di pesisir Seruyan, Kalimantan Tengah, kira-kira 135 batu nautika dari lokasi kejadian.
“Lima mayat dibawa keluar oleh pasukan penyelam, manakala enam mayat dari Kalimantan Tengah kini dibawa ke Hospital Bhayangkara.
“Kami pada awalnya merancang menggunakan helikopter, namun akibat kebakaran hutan dan keadaan berjerebu, justeru kami memutuskan untuk menggunakan jalan darat,” katanya pada sidang media malam Jumaat.
Feri Virgo Transport 8 yang membawa 243 orang dan 89 kenderaan dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan terputus hubungan kira-kira 2 pagi waktu tempatan pada 13 Sept.
Kapal itu ditemukan terbalik pada hari sama sebelum tenggelam dalam tempoh beberapa hari berikutnya.
Mengenai pencarian di dalam bangkai kapal, Putu berkata kedudukannya yang senget dan tidak stabil menyebabkan penyelam tidak dapat memasuki beberapa ruang dengan selamat.
Sehubungan itu, Basarnas menggesa operasi salvaj, termasuk usaha menaikkan bangkai kapal dipercepat supaya lebih banyak bahagian dapat diakses oleh pasukan penyelam.
“Penyelam tidak dapat memasuki semua ruang kerana kapal masih dalam keadaan senget.
"Jika kami memecahkan tingkap di kawasan yang kurang stabil, ia boleh menjejaskan kedudukan kapal dan membahayakan penyelam,” kata beliau.
Operasi turut berdepan cabaran ombak setinggi 1.75 hingga 2.5 meter serta arus bawah laut yang kuat dan berubah-ubah, menyebabkan jadual menyelam perlu disesuaikan mengikut keadaan semasa, katanya.
Memasuki hari ke-14 operasi pada Sabtu, Putu menjelaskan seramai 65 penyelam daripada Basarnas, Tentera Laut Indonesia, Persatuan Olahraga Selam Seluruh Indonesia (POSSI) serta unit mencari dan menyelamat lain dijadual dikerahkan dalam beberapa giliran.
Operasi akan memberi tumpuan kepada bahagian bangkai kapal yang dinilai selamat untuk dimasuki.
-- BERNAMA