INSTAGRAM akan melancarkan ciri keselamatan baharu yang memaklumkan ibu bapa apabila anak remaja mereka berulang kali cuba mencari kandungan berkaitan bunuh diri atau mencederakan diri dalam tempoh singkat, langkah yang muncul di tengah desakan global untuk mengetatkan akses media sosial kepada pengguna bawah umur.
Langkah ini selari dengan perbincangan antarabangsa selepas Australia mengumumkan larangan penggunaan media sosial kepada individu bawah 16 tahun, yang mendorong negara lain seperti Britain, Greece, Slovenia dan Sepanyol mempertimbangkan dasar sama.
Advertisement
Menurut Meta, pemilik Instagram, ibu bapa yang melanggan ciri penyeliaan aplikasi itu akan menerima notifikasi, sama ada melalui emel, mesej teks, WhatsApp atau pemberitahuan dalam aplikasi, apabila remaja mereka berulang kali cuba mengakses istilah berkaitan tindakan membahayakan diri.
Notifikasi akan disertakan panduan pakar mengenai cara mengendalikan perbualan sensitif bersama anak.
Instagram menegaskan bahawa pihaknya sudah pun menghalang carian sebegitu dan menyalurkan pengguna kepada sumber bantuan profesional, namun ciri baharu ini memberi isyarat tambahan supaya ibu bapa boleh campur tangan lebih awal.
Ciri ini akan dilancarkan terlebih dahulu di Amerika Syarikat (AS), Britain, Australia dan Kanada, sebelum diperluas ke negara lain.
Langkah Meta hadir ketika semakin banyak kerajaan menilai semula risiko keselamatan dalam talian terhadap kanak-kanak, terutamanya selepas kebimbangan mengenai penyalahgunaan teknologi seperti chatbot AI yang menghasilkan imej seksual tidak bersetuju.
Britain pula bergelut dengan isu privasi apabila cuba menyekat akses laman pornografi untuk remaja, sekali gus mencetuskan ketegangan dengan AS mengenai kebebasan bersuara dan kawal selia digital.
Instagram sebelum ini menetapkan bahawa pengguna di bawah 16 tahun berada dalam kategori ‘Akaun Remaja’, yang menghadkan kandungan tertentu.
Sebarang perubahan tetapan memerlukan kebenaran ibu bapa, dan remaja perlu bersetuju jika ibu bapa mahu menambah lapisan pemantauan tambahan.