Skip to main content

Dunia

Iran arah diplomat Sweden tinggalkan negara selepas pegawai kedutaan diusir

Seorang lelaki memberikan reaksi ke arah kamera ketika memandu melepasi sebuah monumen berbentuk genggaman tangan yang menggambarkan Allahyarham Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. - Foto AP
Seorang lelaki memberikan reaksi ke arah kamera ketika memandu melepasi sebuah monumen berbentuk genggaman tangan yang menggambarkan Allahyarham Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. - Foto AP
Advertisement

TEHRAN: Iran pada Khamis mengarahkan seorang diplomat Sweden meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam sebagai respons kepada tindakan Sweden mengusir seorang pegawai Kedutaan Iran di Stockholm, selain menolak tuduhan Sweden terhadap Tehran sebagai "tidak berasas", lapor Xinhua.

Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan memaklumkan Ketua Pengarah bagi Eropah Barat di kementerian itu Alireza Yousefi memanggil Duta Besar Sweden ke Iran pada pagi Khamis dan mengemukakan bantahan keras terhadap dasar "merosakkan" Sweden, khususnya "retorik tidak wajar mengenai Iran serta tindakan membenarkan kumpulan dan individu pengganas anti-Iran berada di negara itu".

Semasa pertemuan itu, Duta Besar Sweden dimaklumkan bahawa seorang diplomat Sweden telah diarahkan meninggalkan Iran dalam tempoh 48 jam "atas sebab yang telah dijelaskan kepada duta besar berkenaan", menurut kenyataan itu.

Advertisement

Kementerian Luar Sweden pada Rabu memaklumkan bahawa pihaknya telah memanggil Duta Besar Iran dan meminta seorang pegawai di Kedutaan Iran meninggalkan negara itu berhubung aktiviti yang "tidak selaras dengan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik".

Menteri Kehakiman Sweden Gunnar Strommer kemudian memberitahu penyiar negara SVT bahawa keputusan itu dibuat berhubung dakwaan aktiviti Iran terhadap "kepentingan Yahudi dan Israel" di Sweden.

Advertisement

Kementerian Luar Iran menolak dakwaan Sweden dengan menyatakan Stockholm, "dalam tindakan yang tidak berasas dan melanggar undang-undang antarabangsa, telah memaksa seorang diplomat yang bertugas di Kedutaan Iran di Stockholm meninggalkan negara itu tanpa sebarang alasan yang munasabah".

Kementerian itu mendakwa bahawa tindakan Sweden diambil di bawah pengaruh Israel dan merupakan cubaan untuk mengganggu operasi normal Kedutaan Iran di Stockholm.

Kementerian itu memaklumkan Iran akan mengambil langkah yang perlu bagi melindungi hak dan kepentingan negaranya, termasuk menerusi tindakan timbal balik.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement