ISTANBUL: Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei pada Sabtu memaklumkan bahawa Iran telah mencapai persetujuan dengan Oman berhubung peta laluan perkapalan bagi Selat Hormuz selepas rundingan teknikal selama beberapa minggu, lapor Anadolu Ajansi.
Baghaei memberitahu Defa Press bahawa Iran dan Oman, dua negara pesisir yang bersempadan dengan laluan perairan strategik itu, memulakan rundingan intensif tiga bulan lepas susulan menandatangani memorandum persefahaman pada 18 Jun bagi mewujudkan laluan navigasi yang selamat.
"Meskipun berdepan halangan Amerika Syarikat (AS), rundingan berkenaan menunjukkan kemajuan positif sejak tiga minggu lepas, dan persetujuan telah dicapai berhubung peta laluan perkapalan," katanya.
Baghaei berkata pelan berkenaan merupakan hasil penyelarasan yang diketuai oleh Kementerian Luar, dengan penyertaan pihak berkuasa pertahanan, keselamatan dan alam sekitar Iran.
Beliau berkata kedua-dua pihak masih merundingkan isu-isu tertunggak, termasuk satu kenyataan yang akan dikeluarkan oleh Tehran dan Muscat, sambil mengesahkan bahawa perbincangan antara kedua-dua negara akan diteruskan sehingga proses itu dimuktamadkan.
Baghaei menegaskan bahawa pengaturan Iran-Oman berkenaan merupakan persetujuan bebas antara dua negara pesisir bertujuan memastikan laluan selamat bagi kapal-kapal menerusi selat itu sambil memelihara kedaulatan kedua-dua negara.
Namun, beliau berkata pemulihan penuh keselamatan di selat berkenaan serta pengoperasian semula perkapalan komersial normal bergantung kepada penghentian apa yang disifatkannya sebagai tindakan haram AS, ancaman ketenteraan dan sekatan laut, selain pampasan atas kemungkiran komitmen AS sepanjang dua bulan lepas.
Rundingan itu merupakan sebahagian daripada rundingan teknikal yang dilancarkan di bawah memorandum persefahaman Iran-AS, yang menugaskan Tehran dan Muscat untuk membangunkan kerangka kerja navigasi baharu bagi Selat Hormuz.
Walaupun Iran dan Oman meneruskan perbincangan mengenai laluan perkapalan, Tehran berulang kali menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk membuka semula laluan perairan strategik itu kekal tertakluk kepada pelaksanaan tanggungjawab AS di bawah memorandum berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU