Ringkasan AI
- Tamagotchi, permainan haiwan peliharaan digital Jepun, meraikan ulang tahun ke-30 dengan penghantaran melebihi 100 juta unit di seluruh dunia.
- Sejak dilancarkan pada 1996, Tamagotchi telah melalui pelbagai inovasi termasuk fungsi komunikasi inframerah dan adaptasi kepada siri animasi televisyen.
- Model Tamagotchi Paradise yang akan dilancarkan pada 2025 menawarkan kawalan baharu, manakala permintaan turut didorong nostalgia dalam kalangan pengguna dewasa.
TOKYO: "Tamagotchi", permainan haiwan peliharaan digital mudah alih keluaran Jepun menyambut ulang tahun ke-30 pada Isnin dengan jumlah penghantaran peranti itu melebihi 100 juta unit, sekali gus mencerminkan popularitinya yang semakin meluas di seluruh dunia, lapor Kyodo News.
Permainan keluaran syarikat mainan Jepun, Bandai Co, itu membolehkan pengguna memberi makan dan menjaga "Tamagotchi", sejenis makhluk asing yang membesar menjadi pelbagai watak bergantung pada cara ia dijaga.
Sejak diperkenalkan pada 1996, permainan berkenaan mendapat sambutan luar biasa, khususnya dalam kalangan pelajar perempuan sekolah menengah yang gemar menggantung peranti itu pada beg menggunakan rantai.
Peranti permainan berbentuk telur itu mengalami pelbagai perubahan dari semasa ke semasa, termasuk penambahan fungsi yang membolehkan pengguna bermain bersama menerusi komunikasi inframerah.
Popularitinya turut meningkat selepas permainan itu diadaptasi menjadi siri animasi televisyen.
Menurut Bandai, ketika jumlah penghantaran peranti Tamagotchi melepasi 100 juta unit pada 2025, sebanyak 49 peratus daripadanya adalah untuk pasaran Jepun, 33 peratus ke benua Amerika, manakala 16 peratus lagi ke Eropah, Timur Tengah dan Afrika.
Peranti Tamagotchi kini dipasarkan di lebih 50 negara dan wilayah.
Model Tamagotchi Paradise yang dilancarkan pada musim panas 2025 dilengkapi tombol kawalan yang membolehkan pengguna membesarkan paparan haiwan peliharaan digital mereka sehingga ke peringkat sel.
Sementara itu, golongan dewasa yang pernah bermain Tamagotchi ketika kecil kembali mendapatkan versi baharu peranti berkenaan, didorong nostalgia terhadap era Heisei (1989-2019).
"Kami mahu mewujudkan persekitaran yang menjadikan Tamagotchi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat," kata pegawai Bandai, Chisato Aoyagi.
Di Amerika Syarikat, tempat permainan simulasi itu diperkenalkan pada 1997, sebuah video berdurasi 30 minit yang memaparkan sejarah Tamagotchi ditayangkan pada skrin gergasi di Times Square, New York pada Ahad sempena ulang tahun ke-30 permainan berkenaan.
-- BERNAMA-KYODO