ISLAMABAD: Iran sedang menangani kejadian tumpahan minyak berskala besar di Selat Hormuz pada Sabtu berikutan konflik perang selama berbulan-bulan dengan Israel dan Amerika Syarikat yang kini menjejaskan laluan perairan utama itu, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan media tempatan.
Langkah awal bagi mengawal tompokan minyak berhampiran Pulau Qeshm telah dimulakan, menurut akhbar Etemad. Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan bahawa tumpahan berkenaan berjaya dikawal.
Pada Jumaat, agensi berita rasmi IRNA melaporkan bahawa 3.2 hektar kawasan pesisir pantai Iran serta sembilan hektar perairan pesisir terjejas. Hutan bakau serta kawasan sarang penyu dilaporkan antara kawasan yang terjejas.
Etemad memaklumkan bahawa tompokan minyak itu dipercayai dihanyutkan dari laut ke pesisir pantai, walaupun punca sebenar masih belum dapat dipastikan.
Sejak tercetusnya perang Iran pada Februari, pasukan tentera Republik Islam itu telah menyerang berbilang kapal kargo dalam usaha menyekat laluan perkapalan menerusi selat berkenaan, yang merupakan laluan perairan penting bagi perdagangan antarabangsa.
AS bertindak balas dengan mengenakan sekatan laut terhadap kapal-kapal Iran dan telah melepaskan tembakan beberapa kali bagi melumpuhkan kapal berkenaan.
Sementara itu, tompokan minyak turut merebak di luar pantai Oman sejak kapal tangki “Caroline Bezengi” -- yang tergolong dalam armada gelap Rusia dan dikenakan sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU) -- terkandas di situ pada akhir Jun.
Pakar percaya kapal berkenaan berdepan risiko pecah. Buat masa ini, masih belum dipastikan sama ada tumpahan minyak di pesisir pantai Iran mempunyai kaitan dengan kapal tangki berkenaan.
--BERNAMA-dpa