BANGKOK: Kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Thailand, seperti operasi bersama dan perkongsian maklumat perisikan untuk menangani ancaman rentas sempadan, kekal penting dalam memelihara keselamatan sempadan serta kestabilan serantau, kata Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.
Wan Zaidi berkata perkongsian yang terjalin sejak zaman pemberontakan komunis di sepanjang sempadan bersama itu telah berkembang selama lebih enam dekad menjadi pakatan strategik pelbagai dimensi yang menyokong kepentingan keselamatan kedua-dua negara serta menyumbang kepada kestabilan ASEAN.
Beliau berkata pengisian Perjanjian Kerjasama Sempadan pada 13 Mac 1965 menandakan satu mercu tanda penting dalam menginstitusikan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara jiran itu.
"Hari ini, kita amat menghormati wira dan wirawati yang berdedikasi serta berkorban pada era mencabar itu telah meletakkan asas kukuh bagi hubungan ketenteraan dan keselamatan yang berkekalan yang kita nikmati hari ini," katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Ulang Tahun Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-93 di sini pada Selasa.
Majlis resepsi itu turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Thailand Jeneral Ukris Boontanondha sebagai tetamu kehormat, Ketua Turus Bersama Angkatan Tentera Diraja Thailand Jeneral Nattapong, Atase Pertahanan Malaysia ke Thailand Brig Jen Datuk Samsul Rizal Musa dan kira-kira 400 tetamu jemputan.
Wan Zaidi berkata kerjasama dua hala dikekalkan menerusi mekanisme seperti Jawatankuasa Am Sempadan, Jawatankuasa Peringkat Tinggi dan Jawatankuasa Sempadan Wilayah, selain kawalan sempadan bersama, latihan ketenteraan, persidangan panglima serta program pertukaran pegawai.
"Inisiatif-inisiatif ini telah memperkukuh koordinasi operasi di samping memupuk kepercayaan, rasa saling menhormati dan hubungan profesional dalam kalangan pegawai tentera dari kedua-dua negara," katanya.
Beliau berkata Malaysia dan Thailand juga bekerjasama dalam menangani ancaman keselamatan bukan tradisional, termasuk pemerdagangan manusia dan jenayah siber, di samping meningkatkan kerjasama dalam tindak balas bencana.
Selain pertahanan, beliau berkata kedua-dua negara berkongsi perkongsian ekonomi yang teguh dibina atas dasar pertumbuhan perdagangan dan pelaburan selama lebih enam dekad, disokong oleh penglibatan peringkat tinggi serta hubungan akrab antara rakyat.
"Memandangkan Malaysia dan Thailand bersiap sedia untuk merayakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027, kedua-dua negara kekal komited untuk memperdalam kerjasama, memperkukuh kesalinghubungan rentas sempadan dan meningkatkan daya tahan ekonomi," katanya.
Beliau berkata hubungan dua hala yang lebih erat turut membantu memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai pusat pengeluaran serantau yang berintegrasi dan berdaya saing di samping memajukan kestabilan rantau ini.
-- BERNAMA