INTERNATIONAL
Iran kekal pertahan haknya untuk guna tenaga nuklear secara aman - Menteri Luar

Menteri Luar Iran, berkata republik itu tidak menggunakan nuklear sebagai senjata namun sebaliknya untuk kegunaan sumber tenaga secara aman. - Foto Reuters.
DOHA: Iran tidak menggunakan nuklear sebagai senjata namun ia adalah hak republik itu untuk menggunakannya sebagai sumber tenaga secara aman, kata Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghci.
Ringkasan AI
- Iran mempertahankan hak tenaga nuklear - Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghci menegaskan bahawa Iran tidak menggunakan nuklear sebagai senjata tetapi berhak menggunakannya sebagai sumber tenaga secara aman dalam kerangka undang-undang antarabangsa.
- Rundingan dengan Amerika Syarikat dan negara lain - Tehran terus berdialog dengan A.S., Eropah dan negara lain untuk mencapai perjanjian yang memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear, namun tetap mempertahankan haknya terhadap tenaga nuklear.
- Kritikan terhadap sikap berat sebelah Barat - Iran mengkritik negara-negara Barat yang menentang penggunaan nuklear oleh Iran tetapi membenarkan negara lain memilikinya, sambil menegaskan bahawa Tehran tidak akan tunduk kepada tuntutan yang tidak realistik.
Dalam persidangan tersebut, Araghci turut menekankan bahawa Tehran akan terus berdialog dengan Amerika Syarikat, Eropah dan negara-negara lain dengan tujuan yang baik.
Jika matlamat rundingan ini adalah untuk memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear, ini boleh dicapai sepenuhnya, dan perjanjian boleh dicapai dengan baik, kata Araghchi.
Bagaimanapun, jika matlamatnya adalah untuk melucutkan hak nuklear Iran atau mengenakan tuntutan lain yang tidak realistik dan tidak rasional, Iran tidak akan berundur daripada mana-mana hak ini, tambahnya.
Beliau turut mengkritik sikap berat sebelah yang diamalkan oleh negara-negara barat dan pihak yang kononnya mengkritik penggunaan nuklear oleh Iran dan beberapa negara lain namun menghalalkan tindakan "rejim penjajah yang melakukan genosid" memiliki senjata nuklear.
Delegasi Iran dan A.S. telah mengadakan tiga pusingan rundingan tidak langsung setakat ini yang pertama dan ketiga di Muscat, ibu kota Oman pada 12 April dan 26 April, dan yang kedua di Rom, Itali pada 19 April.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Akbar Ahmadian berkata awal minggu ini bahawa rundingan dengan Washington masih "tidak dapat diramalkan".
Tambah beliau, kemajuan dalam perbincangan "bergantung pada kelakuan Amerika Syarikat".
Pendirian rundingan Iran kekal dalam "garisan merah yang jelas", kata Ahmadian, sambil menambah Tehran enggan bertindak di bawah paksaan. -- Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami