DUNIA
Iran kemuka aduan kepada PBB berhubung serangan Israel ke atas sektor kesihatan

Amir berkata rejim Israel dengan sengaja menyasarkan petugas perubatan dan fasiliti kesihatan Iran sepanjang pencerobohan baru-baru ini. - Foto Reuters
NEW YORK: Duta Besar dan Wakil Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Amir Sa'eed Iravani mengecam serangan sengaja oleh Israel ke atas petugas perubatan Iran dalam satu aduan rasmi yang dikemukakan kepada PBB, lapor Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA).
Ringkasan AI
- Iran mengemukakan aduan rasmi kepada PBB berhubung dakwaan serangan sengaja oleh Israel terhadap petugas perubatan dan fasiliti kesihatan, yang disifatkan sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
- Serangan Israel bermula pada 13 Jun, diikuti penyertaan Amerika Syarikat pada 22 Jun dengan menyasarkan tapak nuklear Iran; Iran kemudian melancarkan serangan balas ke wilayah yang diduduki Israel.
- Gencatan senjata diumumkan pada 24 Jun, selepas pertukaran serangan yang menyebabkan kematian orang awam dan kerosakan besar terhadap infrastruktur bukan ketenteraan di Iran.
Iravani berkata tindakan Israel itu adalah pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa serta perjanjian berkaitan lain, dengan menyerang petugas perubatan dan pusat kesihatan secara sistematik, menyebabkan kehilangan nyawa yang besar dan kemusnahan meluas.
Israel memulakan pencerobohan pada 13 Jun, hanya tiga hari sebelum rundingan yang dijadualkan antara Iran dan Amerika Syarikat berhubung program nuklear aman Tehran dijadualkan berlangsung.
Amerika Syarikat menyertai peperangan pada 22 Jun dengan melancarkan serangan udara ke atas tiga tapak nuklear Iran iaitu Fordow, Isfahan dan Natanz.
Sebagai tindak balas, Angkatan Tentera Iran melancarkan serangan balas menyasarkan kedudukan utama di wilayah yang diduduki Israel dan menyebabkan kerosakan besar.
Gencatan senjata kemudian diumumkan pada 24 Jun.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami