Skip to main content

Dunia

Iran tolak cadangan IAEA untuk rundingan pemeriksaan nuklear

Ketua IAEA Rafael Grossi (foto) mencadangkan pemulihan hubungan secara berperingkat antara agensi itu dengan Tehran, menurut laporan terkininya. -Gambar fail
Ketua IAEA Rafael Grossi (foto) mencadangkan pemulihan hubungan secara berperingkat antara agensi itu dengan Tehran, menurut laporan terkininya. -Gambar fail
Advertisement

VIENNA: Iran menolak rundingan bagi menyambung semula pemeriksaan nuklear buat masa ini, menurut badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Tehran memaklumkan agensi itu bahawa perkara berkenaan tidak dapat dilaksanakan memandangkan situasi keselamatan semasa, menurut laporan IAEA yang dikeluarkan pada Jumaat. Dokumen yang belum didedahkan kepada umum itu dilihat oleh dpa.

Sejak bermulanya serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas fasiliti nuklear Iran tahun lepas, Republik Islam itu hampir tidak bersetuju dengan sebarang pemeriksaan IAEA. Pemeriksa nuklear PBB hanya dibenarkan melakukan lawatan ke loji janakuasa nuklear Bushehr baru-baru ini.

Advertisement

Bagaimanapun, IAEA dan negara-negara Barat khususnya menuntut pengesahan terhadap uranium yang hampir mencapai tahap gred senjata yang dihasilkan Iran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua IAEA Rafael Grossi mencadangkan pemulihan hubungan secara berperingkat antara agensi itu dengan Tehran, menurut laporan terkininya. 

Advertisement

Beliau berkata langkah itu boleh membantu membina kepercayaan dan membuka jalan kepada perjanjian yang lebih meluas, menurut dokumen yang dilihat dpa.

Grossi menggesa rundingan teknikal diadakan berhubung pemeriksaan masa depan, selain menuntut Iran mengemukakan laporan status mengenai kemudahan yang tidak diserang oleh AS dan Israel.

Beliau turut menekankan kebimbangan IAEA yang semakin meningkat berhubung kekurangan maklumat daripada Tehran mengenai rancangan pembinaan kemudahan pengayaan uranium tambahan.

Uranium yang diperkaya pada tahap tinggi boleh digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear, namun Tehran menafikan mempunyai niat sedemikian.

Iran baru-baru ini mempertahankan tindakannya menyekat pemeriksaan IAEA dengan sebahagiannya merujuk kepada ganjaran AS sehingga US$20 juta yang ditawarkan minggu lepas bagi mendapatkan maklumat mengenai program nuklear negara itu.

Menurut Tehran, tiada pihak boleh menuntut supaya pemeriksaan dijalankan selagi program nuklear dan kakitangannya terdedah kepada "pembunuhan, sabotaj dan keagresifan".

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement