WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, berkata Iran kini dilihat lebih terbuka kepada rundingan berhubung program nuklear dan isu keselamatan di Selat Hormuz selepas siri operasi ketenteraan yang dilaksanakan Washington.
Dalam temu bual dengan Fox News, Rubio mendakwa serangan ketenteraan AS sebelum ini telah menjejaskan sebahagian besar keupayaan pertahanan konvensional Iran, termasuk aset tentera laut, tentera udara dan sistem pertahanan peluru berpandu negara itu.
Menurut beliau, operasi berkenaan telah mengubah kedudukan strategik Tehran dalam konflik serantau dan membuka ruang kepada perbincangan yang sebelum ini sukar dicapai.
Rubio bagaimanapun mengakui Iran masih mempunyai simpanan peluru berpandu dan dron yang boleh digunakan untuk melancarkan serangan balas.
Namun, katanya, keupayaan pertahanan konvensional negara itu telah terjejas dengan ketara.
Beliau berkata keadaan tersebut menjadi antara faktor yang mendorong Iran menunjukkan kesediaan untuk berbincang mengenai isu program nuklear serta kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
Rubio turut menegaskan pentadbiran AS percaya ia kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk meneruskan usaha diplomatik dengan Tehran berbanding sebelum ini.