KLANG: Rakyat Selangor diingatkan agar sentiasa bijak mentafsir dan tidak mudah terpengaruh dengan cubaan pihak tertentu yang berusaha menggoyahkan keharmonian kaum demi kepentingan politik sempit.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata apabila pihak lawan tidak lagi mampu menandingi prestasi pentadbiran dan rekod kebajikan kerajaan negeri, sentimen perpecahan sengaja dibangkitkan untuk memecah-belahkan masyarakat.
"Bagi mereka, senjata terakhir untuk menjatuhkan kita ialah pecahkan kita dengan rasa tidak bertanggungjawab... mereka akan kata kaum India adalah mangsa, orang Melayu akan hilang kuasa dan orang Cina pula kononnya tidak boleh berniaga.
"Kita akan teruskan pertahankan kepelbagaian budaya serta mengangkat martabat semua kaum dan agama," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Deepavali Peringkat Negeri Selangor 2026 di Dataran Klang @ Padang Chetty di sini semalam.
Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Datuk Ng Suee Lim dan Ahli Parlimen Klang V. Ganabatirau dalam majlis sambutan yang menghimpunkan lebih 5,000 penduduk setempat.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pentadbiran negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi masa hadapan dan modal insan menerusi pelbagai skim serta program yang telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2027 pada Jumaat.
"Visi kita untuk menjadikan Selangor sebagai (negeri) yang terbaik di Malaysia dan rantau ini akan terganggu kalau kita mudah diheret, keliru atau dilencongkan dengan perkaraa yang menimbulkan amarah serta merosakkan.
"Kita memandang diri ini dengan keyakinan, bukan dengan ketakutan dan kita mahu bina negeri ini dengan perpaduan yang waja serta mendalam antara satu sama lain, bukannya meningkatkan perbezaan dan membangkitkan kemarahan," katanya.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu pula berkata ekonomi Selangor terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar dijangka mencecah RM489 bilion tahun ini.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor itu berkata pencapaian tersebut mencerminkan pengurusan kewangan berhemat serta kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dalam merancang pembangunan jangka panjang dengan peningkatan rizab Kumpulan Wang Disatukan kepada RM5.121 bilion setakat 11 Nov lepas.
"Namun, kejayaan sebenar sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui angka pertumbuhan ekonomi dan kekuatan kewangan tetapi sejauh mana kemajuan itu dapat dirasai oleh rakyat," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ganabatirau.
Terdahulu, Amirudin menyampaikan bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Selangor dengan peruntukan RM5 juta, rumah ibadat Lima Agama Selangor (RM2.012 juta) dan Program Bantuan Peralatan Inisiatif Pembangunan Usahawan India Selangor (i-SEED) (200 penerima).
-- BERNAMA