IRAN meminta Indonesia tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.
Permintaan itu disampaikan Duta Besar Iran ke Indonesia, Mohammad Boroujerdi kerana tindakan negara haram itu yang menceroboh Palestin.
Advertisement
Menurut Boroujerdi seperti dipetik media tempatan, Iran menganggap Israel sebagai sebuah rejim yang menduduki wilayah Palestin dan perkara itu tidak boleh diterima.
Boroujerdi turut menegaskan bahawa Iran sejak awal tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.
Susulan itu beliau berharap Iran dan Indonesia mempunyai pendirian yang sama terhadap pihak yang menduduki wilayah negara lain.
Bagaimanapun, Iran katanya mungkin mempertimbangkan semula pendiriannya terhadap Israel dengan syarat jika seluruh masyarakat di wilayah yang diduduki rejim dapat menikmati sistem demokrasi dan kerajaan dibentuk melalui proses demokrasi.
Sebagai konteks, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tahun lalu menyatakan kesediaan republik itu untuk segera mengiktiraf Israel serta menyokong semua jaminan keselamatan untuk Israel sekiranya Israel mengiktiraf kemerdekaan dan kedaulatan Palestin.