Skip to main content

Dunia

Iran panggil wakil Ukraine susulan serangan kapal di Laut Caspian

[TB]_Navy ships Iran Azerbaijan Caspian Sea_REUTERS
Insiden di Laut Caspian itu berlaku ketika ketegangan serantau semakin meningkat susulan konflik yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya. - Foto REUTERS
Advertisement

TEHRAN: Iran memanggil wakil diplomatik Ukraine di Tehran selepas mendakwa Kyiv bertanggungjawab terhadap serangan ke atas sebuah kapal dagang Iran di Laut Caspian yang mengorbankan seorang kelasi dan mencederakan seorang lagi.

Menurut Kementerian Luar Iran, serangan itu disifatkan sebagai tindakan "bermusuhan dan jenayah" serta melanggar undang-undang antarabangsa.

Tehran turut menyampaikan bantahan rasmi kepada wakil Ukraine dan memberi amaran bahawa negara itu akan mempertahankan kepentingan serta keselamatan nasionalnya.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, turut membangkitkan isu berkenaan dalam perbualan dengan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Tuduhan itu timbul selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, memaklumkan bahawa tenteranya melaksanakan beberapa serangan jarak jauh di Laut Caspian yang menyasarkan kapal digunakan untuk mengangkut kargo berkaitan ketenteraan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan identiti atau kewarganegaraan kapal yang diserang.

Zelenskyy turut mendakwa Rusia membantu Iran dengan berkongsi maklumat pemantauan satelit yang digunakan untuk menyokong operasi ketenteraan Tehran di Asia Barat.

Sepanjang konflik Rusia-Ukraine, hubungan Tehran dan Kyiv sering tegang berikutan dakwaan bahawa Iran membekalkan dron kepada Moscow untuk digunakan dalam perang di Ukraine.

Iran bagaimanapun berulang kali menafikan terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.

Insiden di Laut Caspian itu berlaku ketika ketegangan serantau semakin meningkat susulan konflik yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan peluasan medan konflik ke kawasan baharu.
 

 

Must Watch Video

Advertisement