Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran sahkan kematian Komander Tentera Laut IRGC Alireza Tangsiri

FILE: Israel claims to have killed Iran's IRGC commander Tangsiri, no confirmation from Tehran
IRGC memaklumkan bahawa Alireza Tangsiri (foto) meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya. -Gambar fail

TEHRAN: Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) secara rasmi mengesahkan kematian Komander Tentera Lautnya, Laksamana Madya Alireza Tangsiri, hari ini.

Menerusi kenyataan yang dipetik agensi berita IRNA, IRGC memaklumkan bahawa Alireza Tangsiri meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Advertisement

Pengesahan itu menyusul seminggu selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mendakwa bahawa komander berkenaan telah terbunuh bersama beberapa pegawai kanan lain dalam satu "operasi tepat dan maut" yang dilancarkan oleh tentera rejim tersebut.

Alireza Tangsiri sebelum ini dianggap sebagai watak utama dalam strategi maritim Iran, khususnya dalam menguruskan kawalan keselamatan serta sekatan di Selat Hormuz yang merupakan laluan tenaga paling kritikal di dunia.

Kehilangan tokoh kanan ketenteraan ini dilihat sebagai tamparan hebat buat Tehran ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak melibatkan serangan udara berterusan oleh pihak Israel dan Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa di Tehran setakat ini tidak memperincikan lokasi sebenar atau kronologi insiden yang membawa kepada kecederaan maut tersebut, namun upacara penghormatan negara dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, beberapa siri serangan profil tinggi telah menyasarkan kepimpinan utama IRGC sejak konflik bermula pada hujung Februari lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tindak balas balas dendam daripada pihak Iran.

Must Watch Video