DUNIA
Iran sedia hadapi perang baharu dengan Israel - Presiden Masoud Pezeshkian

Pezeshkian (foto) menegaskan bahawa angkatan bersenjata Iran bersedia melancarkan serangan balas terhadap Israel jika berlaku serangan ketenteraan baharu. -Gambar fail/Reuters
TEHRAN: Iran bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk serangan ketenteraan baharu daripada Israel, tegas Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Ringkasan AI
- Presiden Iran Masoud Pezeshkian menegaskan bahawa angkatan bersenjata Iran bersedia melancarkan serangan balas terhadap Israel jika berlaku serangan ketenteraan baharu.
- Konflik 12 hari antara Iran dan Israel pada Jun 2025 menyaksikan serangan besar-besaran termasuk peluru berpandu dan dron, dengan Iran mengalami 29 kematian dan lebih 3,000 cedera.
- Pezeshkian mengesahkan program pengayaan uranium Iran akan diteruskan secara sah dan mendedahkan beliau cedera ringan dalam cubaan pembunuhan oleh Israel semasa mesyuarat keselamatan pada 16 Jun.
“Kami tidak bergantung kepada gencatan senjata ini dan tidak terlalu optimis mengenainya. Israel telah mencederakan kami, dan kami juga telah mencederakannya,” katanya dalam wawancara yang disiarkan Al Jazeera pada Rabu.
Konflik yang tercetus pada 13 Jun lalu menyaksikan Israel melancarkan serangan mengejut ke atas kemudahan nuklear dan pemimpin tentera Iran, dengan campur tangan ketenteraan Amerika Syarikat menyusul beberapa hari kemudian.
Iran membalas dengan melancarkan lebih 500 peluru berpandu balistik dan 1,100 dron ke arah Israel, menyebabkan 29 kematian dan lebih 3,000 cedera.
Pezeshkian turut mengesahkan bahawa program pengayaan uranium Iran akan diteruskan mengikut kerangka undang-undang antarabangsa, walaupun mendapat tentangan daripada kuasa Barat.
Beliau menegaskan bahawa Iran menolak senjata nuklear atas dasar politik, agama dan kemanusiaan, namun menolak sebarang ancaman atau paksaan dalam rundingan masa depan.
Presiden Iran itu juga mendedahkan bahawa beliau mengalami kecederaan ringan dalam cubaan pembunuhan oleh Israel semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Tertinggi pada 16 Jun lalu.
Serangan tersebut dilaporkan menyasarkan bangunan yang menempatkan pemimpin tertinggi Iran, termasuk ketua kehakiman dan speaker parlimen, dalam usaha menggugat kestabilan negara.
Israel belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut, namun Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, sebelum ini mengakui bahawa sasaran utama serangan adalah untuk melemahkan struktur pemerintahan Iran dan menghalang pembangunan senjata nuklear.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami