MALAYSIA
Identiti enam rakyat Malaysia ditahan di Kemboja sudah dikenal pasti - PDRM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti identiti enam rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Kemboja kerana disyaki cuba menyeludup hampir 62 kilogram ganja ke United Kingdom dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 16 Julai lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek lelaki itu berusia antara 27 hingga 70 tahun.
Menurut beliau, maklumat awal berhubung penahanan itu diterima melalui Kementerian Luar (Wisma Putra), namun setakat ini, pihaknya masih belum memperoleh pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Kemboja.
"PDRM akan bekerjasama dengan Wisma Putra menerusi Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) di Kemboja bagi mendapatkan maklumat lanjut serta hasil siasatan daripada pihak berkuasa di sana."Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sindiket yang terlibat dalam cubaan penyeludupan ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Hussein berkata siasatan awal setakat ini belum dapat mengesahkan sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan, terutama yang melibatkan penghantaran barangan ke luar negara tanpa mengetahui kandungannya.
"Modus operandi sindiket dadah antarabangsa kini menyasarkan rakyat Malaysia sebagai keldai dadah. Justeru, masyarakat perlu lebih berwaspada," katanya.
Hari ini, akhbar The Phnom Penh Post melaporkan enam lelaki warga Malaysia ditahan Jabatan Anti-Dadah Kemboja dengan kerjasama pihak kastam dan pihak berkuasa lapangan terbang.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat bahan terlarang itu disembunyikan dalam empat bagasi dan mereka dipercayai merancang untuk berlepas ke London menerusi Hong Kong.
Kesemua suspek bakal didakwa mengikut Artikel 40 Akta Kawalan Dadah Kemboja.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami