TEHRAN: Iran menegaskan Selat Hormuz masih ditutup kepada pelayaran antarabangsa walaupun telah mencapai persetujuan sementara dengan Oman mengenai laluan transit di perairan strategik itu.
Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata pembukaan semula selat tersebut hanya akan dipertimbangkan selepas Amerika Syarikat (AS) memenuhi komitmennya di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui sebelum ini.
Menurut beliau, Iran dan Oman telah mengadakan rundingan sejak 40 hari lalu mengenai pengaturan transit kapal melalui Selat Hormuz dan bersetuju dengan satu laluan sementara selebar kira-kira 11 kilometer.
Sebahagian laluan masuk dan keluar itu terletak dalam perairan wilayah Iran.
Gharibabadi berkata pengaktifan laluan yang dipersetujui bersama Oman tidak bermakna Selat Hormuz dibuka semula sepenuhnya, sebaliknya ia merupakan pengaturan sementara yang masih tertakluk kepada syarat ditetapkan Tehran.
Beliau turut menegaskan bahawa AS dan negara lain perlu memahami bahawa sebarang pembukaan semula laluan perkapalan di selat itu hanya boleh dilakukan berdasarkan pengaturan yang ditentukan Iran.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump mendakwa semua periuk api yang diletakkan di perairan antarabangsa Selat Hormuz telah dibersihkan dan memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang cuba meletakkan bahan letupan baharu akan berdepan tindakan ketenteraan segera.
Jabatan Negara AS pula berkata Washington sedang mengambil langkah lanjut untuk menamatkan ancaman terhadap kebebasan pelayaran di kawasan itu, termasuk menerusi sekatan tambahan ke atas Iran.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia kerana mengendalikan sebahagian besar eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) global.
Ketegangan berterusan di kawasan itu sejak konflik antara Iran, AS dan Israel tercetus pada Februari lalu telah menjejaskan pergerakan kapal dagang serta menggugat kestabilan pasaran tenaga dunia.
Walaupun rundingan antara Tehran dan Muscat dilihat membuka ruang kepada penyelesaian diplomatik, Iran menegaskan faktor keselamatan dan kehadiran ketenteraan AS di rantau itu masih menjadi halangan utama kepada pembukaan semula sepenuhnya Selat Hormuz.