ISTANBUL: Iran terus bertukar mesej dengan Amerika Syarikat (AS), namun pada masa ini tiada syarat untuk mengadakan rundingan, kata jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baqaei pada Ahad sambil menuduh Washington menjejaskan diplomasi menerusi tindakan ketenteraannya.
Dalam temu bual dengan stesen televisyen ORF Austria, Baqaei berkata keutamaan Iran ketika ini adalah mempertahankan kedaulatannya dan bukannya terlibat dalam rundingan, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami bertukar mesej, tetapi keutamaan kami sekarang adalah mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan rakyat Iran," katanya.
Beliau menuduh Washington berulang kali menjejaskan usaha diplomasi dengan berkata tindakan AS telah menyebabkan keadaan tidak lagi kondusif untuk rundingan serta melanggar persefahaman sebelumnya dengan Tehran.
Beliau menyifatkan serangan AS baru-baru ini sebagai kesinambungan "perang yang menyalahi undang-undang" terhadap Iran dengan berhujah bahawa tindakan itu mencerminkan kegagalan Washington untuk menunaikan komitmennya.
Mengenai Selat Hormuz, Baqaei berkata Iran telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan keselamatan pelayaran antarabangsa tetapi tidak akan membenarkan laluan air strategik itu dijadikan platform untuk mengancam keselamatan negara berkenaan.
Beliau turut menyalahkan AS dan Israel atas peningkatan ketegangan di rantau itu dengan berkata tindakan ketenteraan kedua-duanya telah menjejaskan kestabilan keadaan keselamatan.
Ketegangan antara AS dan Iran semakin memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan AS melancarkan serangan ke atas Iran manakala Tehran bertindak balas dengan menyasarkan kemudahan dan peralatan ketenteraan AS di beberapa negara di rantau itu termasuk Bahrain, Jordan dan Kuwait.
-- BERNAMA-ANADOLU