Iran bertegas tidak akan menyerah kepada tekanan yang dikenakan terhadapnya oleh Amerika Syarikat meskipun dibom.

Presidennya Hassan Rouhani berkata, Iran akan tetap mempertahankan diri walau apa jua sekalipun.

Sebelum itu, Ketua Tentera Tertinggi Iran berkata kebuntuan antara Tehran dan Washington adalah ‘pertembungan kehendak’ sambil memberi amaran bahawa mana-mana tindakan terburu-buru musuh akan menjerumus kepada tindak balas yang menghancurkan.

Ketegangan antara kedua-dua negara itu ketika ini sangat memuncak dan berada pada tahap yang membimbangkan.

Ia bertambah buruk apabila Pemangku Setiausaha Pertahanan AS Patrick Shanahan pada Khamis mengesahkan bahawa Pentagon sedang mempertimbangkan untuk mengirim lagi pasukan AS ke Timur Tengah sebagai salah satu cara untuk meningkatkan perlindungan pasukan Amerika di sana.

Presiden AS Donald Trump bulan ini, memerintahkan semua negara untuk menghentikan import minyak Iran atau sekatan akan turut dikenakan terhadap mereka.

Malah Trump pada Ahad mengancam akan mengakhiri riwayat Iran sekiranya negara itu berhasrat mahu melawan Amerika Syarikat.