Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran tuntut pampasan daripada UAE atas dakwaan bantu serangan AS

Amir Saeid Iravani - Foto: Agensi -- SINAR HARIAN
Amir Saeid Iravani (foto) mengemukakan tuntutan rasmi tersebut menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, yang mendakwa tindakan UAE membenarkan wilayahnya digunakan tentera AS merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa. -Gambar fail/Sinar Harian

NEW YORK: Iran menuntut pampasan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas dakwaan bersubahat dengan Amerika Syarikat (AS) dalam siri serangan udara yang dilancarkan ke atas republik itu sejak akhir Feb lalu.

Duta Besar Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani, mengemukakan tuntutan rasmi tersebut menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, yang mendakwa tindakan UAE membenarkan wilayahnya digunakan tentera AS merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Advertisement

Menurut laporan agensi berita Nournews, Amir Saeid Iravani menegaskan bahawa penglibatan berkenaan meletakkan tanggungjawab penuh ke atas UAE untuk memberikan remedi atas segala kerosakan yang dialami oleh Iran.

“Tindakan UAE menyediakan wilayahnya kepada AS untuk melancarkan serangan merupakan satu perbuatan salah di sisi undang-undang antarabangsa yang membawa kepada tanggungjawab negara,” kata Amir Saeid Iravani dalam surat berkenaan.

Beliau berkata UAE mempunyai tanggungjawab antarabangsa untuk menyediakan pemulihan, termasuk pampasan bagi semua kerugian material dan moral yang ditanggung oleh rakyat serta kerajaan Iran.

Tuntutan itu dikemukakan ketika Iran melancarkan beberapa siri serangan balas terhadap negara-negara Teluk yang didakwa menyokong operasi ketenteraan AS dan Israel di Asia Barat.

Sejak konflik bermula pada 28 Feb lalu, UAE dilaporkan menjadi antara negara yang paling terkesan dengan serangan dron dan peluru berpandu pejuang yang menyasarkan fasiliti strategik serta zon perindustrian minyak di negara itu.

Pihak berkuasa UAE sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman keselamatan maritim di Selat Hormuz dan Bab al-Mandab, susulan peningkatan ketegangan di rantau tersebut.

Perkembangan terbaharu di PBB dijangka memburukkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negara ketika komuniti antarabangsa terus bimbang terhadap risiko konflik lebih meluas di Asia Barat.
 

Must Watch Video