ISTANBUL: Iraq meminta Iran pada Rabu supaya memberikan pertimbangan khas kepada negara itu berhubung eksport minyak melalui Selat Hormuz, ketika Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf mengadakan rundingan peringkat tinggi di Baghdad, lapor Anadolu Ajansi memetik Agensi Berita Iraq.
Dalam pertemuan dengan Qalibaf, Speaker Parlimen Iraq, Mohammed al-Halbousi membangkitkan isu berkenaan dan meminta Iraq diberikan “pertimbangan khas” berkaitan eksport minyak melalui laluan perairan strategik itu.
Al-Halbousi berkata, Iraq kekal antara negara yang paling terjejas akibat perkembangan serantau, sambil menekankan kepentingan mempererat hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara Baghdad dan Tehran.
Beliau turut menggesa pengaktifan “jawatankuasa persahabatan” Parlimen serta memperkukuh diplomasi antara kedua-dua badan perundangan negara.
Qalibaf pula menegaskan kesediaan Tehran untuk memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan ekonomi.
Speaker Parlimen Iran itu turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Iraq, Abdul Latif Rashid, dengan mereka membincangkan perkembangan serantau dan global serta kaedah memperkukuh hubungan dua hala.
Rashid menegaskan, sokongan Baghdad terhadap usaha diplomatik bagi menyelesaikan krisis serantau, sambil menekankan keperluan “dialog konstruktif” untuk menangani isu yang masih belum diselesaikan dan mewujudkan keselamatan berkekalan.
Qalibaf berkata, Iran berminat untuk menyelaras kerjasama dengan Iraq dalam pelbagai bidang.
Terdahulu pada Rabu, Qalibaf tiba di Baghdad mengetuai delegasi peringkat tinggi dan disambut Timbalan Speaker Pertama Parlimen Iraq, Adnan Fayhan di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.
Ketika berucap di lokasi Komander Pasukan Quds Iran yang terbunuh, Qassem Soleimani dan pemimpin Pasukan Mobilisasi Popular Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis yang turut maut dalam serangan Amerika Syarikat pada 2020, Qalibaf menyifatkan Iraq sebagai “negara penting di rantau ini.”
“Lawatan kami bertujuan membincangkan kerjasama antara negara-negara serantau tanpa campur tangan asing,” katanya.
Beliau berkata, negara Islam di rantau ini perlu memperluas kerjasama dan membina “hubungan yang mendalam dan mampan,” sambil menjelaskan yang Iran sedang berusaha ke arah matlamat itu.
Sebelum berlepas dari Tehran, Qalibaf berkata, lawatannya itu - atas undangan rakan sejawatnya dari Iraq - akan memberi tumpuan kepada kerjasama Iran-Iraq dalam bidang ekonomi, politik, kebudayaan, sosial dan keselamatan.
Beliau menyifatkan hubungan Iran dan Iraq sebagai “asas” kepada perkembangan serantau, sambil berkata rantau itu tidak lama lagi akan menyaksikan kemunculan “orde baharu.”
Dalam satu hantaran di media sosial, Qalibaf menyifatkan hubungan antara rakyat Iran dan Iraq sebagai “bersejarah dan tidak dapat dipisahkan.”
“Hubungan kejiranan kita dibina atas persaudaraan ketika melalui hari-hari paling sukar, penentangan terhadap campur tangan asing dan kepercayaan terhadap nasib bersama kedua-dua negara,” katanya sambil berkata bahawa sejarah bersama itu akan menjadi panduan pada masa depan.
Qalibaf turut dijangka berkunjung ke Karbala untuk menghadiri satu upacara memperingati 40 hari selepas pengebumian Pemimpin Agung Iran.
-- BERNAMA-ANADOLU