Skip to main content

Dunia

Sri Lanka tidak berdepan kekurangan bahan api - Menteri

Kerajaan Sri Lanka sedang mengambil langkah memperluas rangkaian stesen minyak kendalian kerajaan bagi memperkukuh bekalan ketika berlaku gangguan. - Gambar fail
Kerajaan Sri Lanka sedang mengambil langkah memperluas rangkaian stesen minyak kendalian kerajaan bagi memperkukuh bekalan ketika berlaku gangguan. - Gambar fail

Advertisement

COLOMBO: Sri Lanka menolak kemungkinan berlakunya kekurangan bahan api walaupun berlaku kekurangan penghantaran oleh pengedar swasta, kata Menteri Tenaga negara itu, Anura Karunathilake pada Ahad, lapor Xinhua.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengambil langkah memperluas rangkaian stesen minyak kendalian kerajaan bagi memperkukuh bekalan ketika berlaku gangguan.

Beliau berkata, Perbadanan Petroleum Ceylon (CPC) milik kerajaan meningkatkan bahagian bekalan bahan api kepada pasaran daripada 55 peratus kepada 80 peratus bagi mengimbangi pengurangan penghantaran oleh syarikat swasta yang berdepan masalah kewangan.

Jaminan itu diberikan susulan laporan mengenai barisan panjang kenderaan di stesen minyak dan penjualan bahan api yang dihadkan di beberapa kawasan di negara itu.

Karunathilake berkata, keadaan bekalan semakin stabil apabila beberapa pengedar swasta kembali beroperasi, selain menggesa orang ramai supaya mengelakkan tindakan menyimpan stok bahan api secara berlebihan tanpa keperluan.

Beliau berkata, perbadanan itu akan terus membekalkan bahan api pada harga berpatutan manakala pengusaha swasta bebas menentukan harga masing-masing.

Kerajaan turut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pembekal yang terus mengehadkan penghantaran walaupun perjanjian sedia ada mengehadkan kuasa kerajaan untuk mengarahkan syarikat swasta membekalkan kuantiti tertentu kepada stesen minyak individu.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement