TEHRAN: Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengisytiharkan sokongan penuh terhadap pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai Pemimpin Tertinggi Iran yang baharu, susulan kematian bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan yang berlaku baru-baru ini.
Menurut kenyataan rasmi, IRGC menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Mojtaba, yang dipilih oleh Majlis Pakar sebagai pemimpin ketiga Republik Islam Iran sejak revolusi 1979.
Advertisement
“Pasukan Pengawal, sebagai perajurit setia dan tonggak kuasa negara, menyokong keputusan Majlis Pakar dan bersedia mematuhi sepenuhnya arahan Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei,” menurut kenyataan yang dipetik media rasmi Iran.
IRGC menyifatkan beliau sebagai tokoh berkelayakan untuk membimbing negara menghadapi cabaran politik dan serantau yang semakin kompleks.
Pelantikan Mojtaba, seorang ulama pertengahan berusia 56 tahun yang mempunyai hubungan rapat dengan institusi keselamatan, berlangsung ketika konflik membabitkan Amerika Syarikat dan Israel terus memuncak.
IRGC turut menggesa seluruh rakyat Iran agar bersatu menyokong kepimpinan baharu dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.
Sementara itu, Washington melahirkan reaksi negatif terhadap pelantikan tersebut, dengan Presiden Donald Trump menyifatkan proses pemilihan itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan mendakwa Amerika Syarikat wajar terlibat dalam menentukan kepimpinan baharu Iran.