Israel bedil beberapa kawasan di Gaza meskipun gencatan senjata berlangsung

Meriam Israel menyasarkan beberapa lokasi di timur Bandaraya Gaza dalam kawasan yang berada di bawah kawalan tentera Israel. - AP
GAZA/ISTANBUL: Bedilan meriam Israel menyasarkan beberapa kawasan di seluruh Semenanjung Gaza pada awal Jumaat, melibatkan zon di mana tentera Israel mengekalkan kawalan dan penempatan di bawah perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Sumber tempatan memberitahu Anadolu bahawa meriam Israel menyasarkan beberapa lokasi di timur Bandaraya Gaza dalam kawasan yang berada di bawah kawalan tentera Israel.
Sumber itu menambah bahawa bedilan meriam turut menyasarkan kawasan berasingan di utara bandar Rafah di selatan, yang menurut mereka masih berada di bawah kawalan penuh Israel.
Kenderaan tentera Israel juga dilaporkan melepaskan tembakan secara rawak di timur Khan Younis di selatan Gaza, menurut sumber berkenaan.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa, 477 rakyat Palestin maut dan 1,301 yang lain cedera dalam serangan tentera Israel yang didakwa mencabul perjanjian itu.
Gencatan senjata itu menamatkan peperangan yang bermula pada Oktober 2023 dan berlarutan selama kira-kira dua tahun, mengorbankan lebih 71,000 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 171,000 yang lain.
Peperangan itu mengakibatkan kemusnahan besar-besaran dengan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza rosak atau hancur, manakala kos pembinaan semula dianggarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencecah kira-kira US$70 bilion.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

