DUNIA
Israel keluar amaran pemindahan segera kepada penduduk Iran berdekatan tapak pengeluaran senjata

Tentera Israel mengeluarkan amaran kepada penduduk Iran agar segera berpindah dari kawasan berhampiran kemudahan pengeluaran senjata, menunjukkan kemungkinan serangan lanjut. -X Avichay Adraee
TEL AVIV: Tentera Israel pada Ahad mengeluarkan amaran pemindahan segera kepada penduduk Iran yang tinggal berhampiran kemudahan pengeluaran senjata, susulan kebimbangan kemungkinan serangan lanjut akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Ringkasan AI
- Tentera Israel mengeluarkan amaran kepada penduduk Iran agar segera berpindah dari kawasan berhampiran kemudahan pengeluaran senjata, menunjukkan kemungkinan serangan lanjut.
- Ketegangan meningkat dengan serangan balas antara Israel dan Iran yang menyebabkan korban jiwa di kedua-dua negara serta gangguan kepada operasi lapangan terbang dan rundingan diplomatik.
- Iran menyatakan kesediaan untuk menghentikan serangan balas jika Israel menghentikan serangan ke atas wilayahnya, namun letupan baharu terus berlaku di Tehran dan kawasan lain.
Langkah itu dilihat sebagai isyarat bahawa Israel mungkin akan meneruskan serangan terhadap sasaran berkaitan ketenteraan di Iran, selepas beberapa siri serangan udara dilancarkan sejak Jumaat lalu yang menyasarkan tapak nuklear dan ketenteraan, termasuk Kementerian Pertahanan Iran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu ucapan video pada Sabtu, memberi amaran bahawa rejim itu akan menyerang setiap tapak dan sasaran Iran sekiranya ancaman terhadap Israel berterusan.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dilaporkan berkata bahawa Tehran akan menghentikan serangan balas sekiranya Israel menghentikan serangan ke atas wilayahnya.
Namun, ketegangan terus memuncak apabila letupan baharu dilaporkan berlaku di Tehran dan beberapa kawasan lain di Iran awal pagi Ahad.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 78 orang dilaporkan terkorban dan lebih 320 cedera di Iran, manakala di Israel, 13 maut termasuk dua kanak-kanak dalam serangan peluru berpandu yang dilancarkan Iran sejak Sabtu malam.
Lapangan terbang utama Israel kekal ditutup untuk hari ketiga berturut-turut, manakala usaha diplomatik oleh Jerman, Perancis dan United Kingdom untuk memulakan rundingan semula mengenai program nuklear Iran dilaporkan tergendala.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami