TEKA-TEKI mengenai empat alumni Akademi Fantasia (AF) yang bakal mengisi kekosongan program Gegar Vaganza Fantasia (GV Fantasia) akhirnya terjawab apabila nama mereka diumumkan pada konsert minggu kedua yang berlangsung di Auditorium MBSA pada Ahad.
Empat alumni yang diumumkan ialah, Farah AF2, Felix AF3 dan Akim AF7 Ara Johari AF2015.
Menerusi keputusan undian yang dibuat peminat, Akim meraih undian tertinggi sebanyak 25% manakala Farah ditempat kedua dengan peratusan sebanyak 16%.
Sementara itu, Felix meraih undian ketiga tertinggi dengan peratusan sebanyak 13% manakala Ara dengan 9%.
Keempat-empat alumni tersebut bakal menyertai barisan peserta GVF bagi merebut peluang untuk meneruskan perjalanan mereka dalam program berkenaan.
Untuk info, GV Fantasia musim ini menampilkan himpunan juara serta alumni program Akademi Fantasia termasuk Mawi, Vince, Faizal, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Sementara itu, barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Manakala Celcom Digi pula merupakan penaja rasmi Gegar Vaganza Fantasia.
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.
- Artikel asal disiarkan di Gempak.com