Skip to main content
Advertisement

Dunia

Prabowo mohon maaf jerebu rentas sempadan jejas Malaysia, Singapura

Presiden Prabowo Subianto menyampaikan permohonan maaf atas kebakaran hutan yang terjadi di Indonesia meninggalkan impak terhadap rakyat Singapura dan Malaysia. - Reuters
Presiden Prabowo Subianto menyampaikan permohonan maaf atas kebakaran hutan yang terjadi di Indonesia meninggalkan impak terhadap rakyat Singapura dan Malaysia. - Reuters
Advertisement

MANILA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura susulan kejadian jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan yang berlarutan hampir empat bulan.

Permohonan maaf itu disampaikan bagi pihak kerajaan dan rakyat Indonesia ketika beliau berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 yang dipengerusikan Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr., di sini, pada Ahad.

Sesi berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta pemimpin dan wakil negara anggota ASEAN lain.

Advertisement

Menurut laporan portal Indonesia, Kompas yang memetik kenyataan Biro Akhbar, Media dan Maklumat Sekretariat Presiden Indonesia memberitahu, Prabowo memberi jaminan bahawa Indonesia sudah menggerakkan pelbagai usaha bagi menangani kebakaran hutan dan tanah berkenaan.

Bagaimanapun, kebakaran yang berlarutan hampir empat bulan itu menyebabkan jerebu merentasi sempadan sehingga menjejaskan komuniti di Malaysia dan Singapura.

Advertisement

“Kerajaan Indonesia mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap syarikat yang terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah, selain mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk pembatalan konsesi serta prosiding undang-undang.

“Kita sudah membatalkan 17 konsesi syarikat. Sebanyak 26 syarikat sedang disiasat dan 11 sudah didakwa.

“Sebanyak 23 lagi syarikat dijadualkan didakwa, manakala keseluruhannya 104 syarikat sedang disiasat oleh pasukan polis,” katanya di sini pada Ahad.

Beliau turut memaklumkan Indonesia menggerakkan 71,000 anggota bagi operasi memadam kebakaran hutan, dengan 16 anggota terkorban manakala ramai lagi cedera ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, dua helikopter turut dilaporkan musnah dalam operasi berkenaan.

“Kita sudah menggerakkan 71,000 anggota pemadam kebakaran hutan. Kita kehilangan 16 nyawa, manakala ramai lagi cedera ketika memerangi kebakaran. Kita juga kehilangan dua helikopter,” katanya.

Dalam pada itu, Prabowo mengakui ada keperluan untuk mengubah pendekatan Indonesia dalam menangani kebakaran hutan dan tanah daripada hanya memberi tumpuan kepada operasi pemadaman serta mitigasi kepada langkah pencegahan yang lebih sistematik.

Sehubungan itu, kata beliau, Indonesia sedang membuat persiapan menubuhkan sebuah agensi baharu serta melaksanakan pelbagai program bagi memperkukuh usaha pencegahan kebakaran hutan dan tanah pada masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement