Skip to main content

Dunia

Israel lancar serangan baharu di selatan Beirut di tengah ketegangan serantau

BEIRUT ATTACKED
Serangan udara itu menyasarkan sebuah bangunan di Haret Hreik, satu lagi di kawasan Hadath dan yang ketiga kawasan kejiranan Liqi, dengan asap kelihatan menjulang naik daripada struktur yang terkena serangan. - Reuters

BEIRUT: Jet pejuang Israel melancarkan serangan udara baharu di ibu negara Lubnan, Beirut pada Rabu ketika ketegangan serantau berterusan susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pesawat perang itu melakukan sekurang-kurangnya tiga serangan di pinggir bandar selatan Beirut dalam tempoh kurang satu jam, menurut wartawan Anadolu di lokasi kejadian.

Advertisement

Serangan udara itu menyasarkan sebuah bangunan di Haret Hreik, satu lagi di kawasan Hadath dan yang ketiga kawasan kejiranan Liqi, dengan asap kelihatan menjulang naik daripada struktur yang terkena serangan.

Maklumat mengenai mangsa yang terkorban atau cedera tidak diperoleh buat masa ini.

Pesawat perang Israel terus berlegar di ruang udara kawasan itu, tambah wartawan berkenaan.

Serangan itu berlaku selepas tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan segera sebagai persediaan untuk menyasarkan bangunan berkenaan, yang didakwanya sebagai "infrastruktur Hizbullah".

AS dan Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada Sabtu dan sejak itu telah mengorbankan hampir 800 orang, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan balas menggunakan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video