Skip to main content

Dunia

Israel musnahkan sekolah, terowong di selatan Lubnan walaupun ada perjanjian rangka kerja

Smoke billow from an Israeli-controlled detonation in the village of Mansouri, as is seen from Hanniyeh village, southern Lebanon, Friday, Sept. 11, 2026. (AP Photo/Hussein Malla)
Kepulan asap kelihatan susulan letupan akibat serangan yang dilancarkan Israel di kampung Mansouri, seperti yang dilihat dari kampung Hanniyeh di selatan Lubnan, 11 Sept 2026. (Foto AP)
Advertisement

BEIRUT/ISTANBUL: Tentera Israel melancarkan beberapa siri letupan dan serangan meriam di selatan Lubnan pada awal Jumaat, termasuk memusnahkan sebahagian sebuah sekolah, meskipun terdapat perjanjian rangka kerja dengan Amerika Syarikat sebagai pengantara, lapor Anadolu Ajansi (AA).

 Peningkatan ketegangan itu berlaku ketika kempen pilihan raya Israel semakin rancak, dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berusaha menggembleng dan menyatukan blok kanannya menjelang pilihan raya pada 27 Okt.

 “Pasukan tentera Israel meletupkan sebahagian besar sekolah awam di Pekan Mansouri, Daerah Tyre, menyebabkan hanya sebahagian kecil bangunan itu masih berdiri,” lapor Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).

 Pesawat Israel turut melancarkan serangan ke atas Mansouri pada waktu yang sama dengan letupan besar di sekolah berkenaan, menurut agensi itu.

 Pada waktu subuh, tentera Israel melakukan letupan di kawasan Bukit Baraachit, Daerah Bint Jbeil, serentak dengan serangan meriam yang menyasarkan Wadi al-Hujair.

 Pada petang Khamis, tentera Israel melakukan letupan kuat di kawasan tanah tinggi Ali al-Taher sehingga menyebabkan gegaran tanah. Israel mendakwa letupan itu menyasarkan rangkaian terowong dan infrastruktur Hizbullah yang terbentang lebih dua kilometer.

 Pada Khamis, Netanyahu mendakwa Israel memusnahkan apa yang disifatkannya sebagai “tapak Iran terbesar di luar Iran”, merujuk kepada terowong Ali al-Taher.

 Bukit Ali al-Taher terletak antara pekan Kfar Tibnit dan Nabatieh al-Fawqa, di utara Sungai Litani. Kawasan itu berketinggian kira-kira 600 meter dari aras laut dan mempunyai kepentingan strategik kerana kedudukannya yang menghadap kawasan luas di selatan Lubnan.

 Serangan Israel ke atas selatan Lubnan berterusan meskipun “formula rangka kerja’’ ditandatangani Beirut dan Tel Aviv pada 26 Jun, yang memperuntukkan pengunduran Israel secara berperingkat dari wilayah yang didudukinya sebagai balasan kepada penempatan tentera Lubnan di kawasan berkenaan.

 Israel menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya selama beberapa dekad dan sebahagian lagi sejak perang antara 2023 dan 2024, selain terus memperluas kehadirannya di wilayah Lubnan dalam serangan yang masih berterusan.

 -- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement