KOTA BHARU: Seorang pekerja pengorek pasir yang dipercayai tergelincir dari bot di Sungai Kelantan ditemukan lemas kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian di Kampung Chekok, Serendah di sini pada Selasa.
Muhammad Aqbar Che Abdullah, 35, ditemukan dalam keadaan tertiarap di bawah pam menyedut pasir kira-kira jam 8 pagi oleh penduduk kampung yang turut menyertai operasi mencari mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Fakaruddin Brahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu daripada penduduk sebelum anggota bomba dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat seorang lelaki berada di kawasan tersebut. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika kepada pemberita di lokasi kejadian pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan mangsa pada Ahad lalu menaiki bot ke tempat kerja di lokasi pam bersama rakan dan dipercayai terjatuh dari bot.
Seorang penduduk, Zamri Abdullah, 60, berkata dia mengetahui mengenai penemuan mangsa ketika menyertai usaha mencari bersama tiga rakannya.
Katanya, Muhammad Aqbar merupakan rakannya dan penemuan itu melegakan mereka selepas usaha pencarian dilakukan sejak mangsa dilaporkan hilang.
“Muhammad Aqbar merupakan rakan saya dan kami bersyukur apabila mayatnya ditemukan selepas lebih 48 jam hilang.
“Saya bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu pasukan bomba mengangkat mayat mangsa sebelum dibawa ke jeti Tok Imam Yie,” katanya. -Sinar Harian