INTERNATIONAL
Israel semakin rakus, lulus pelan kuasai keseluruhan Gaza, nekad hapuskan Hamas

Gambar fail menunjukkan tentera Israel terlibat dalam satu operasi ketenteraan di Jenin, wilayah Tebing Barat yang diduduki pada 24 Februari 2025. - Gambar Reuters
TEL AVIV : Kabinet keselamatan Israel telah meluluskan pelan baharu yang menyasarkan penguasaan penuh ke atas Semenanjung Gaza sekali gus mengekalkan kehadiran tenteranya di wilayah tersebut untuk tempoh yang tidak ditentukan.
Langkah ini dijangka memperluas operasi ketenteraan Israel secara drastik dan mencetuskan kecaman antarabangsa.
Menurut laporan media tempatan, pelan yang disokong oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu ini melibatkan operasi ketenteraan secara berperingkat selama beberapa bulan, termasuk penempatan puluhan ribu tentera simpanan.
Netanyahu berkata, Kabinet telah sebulat suara memutuskan untuk melancarkan "operasi secara keras" bagi memusnahkan Hamas dan menyelamatkan baki tebusan yang masih ditahan.Beliau turut menegaskan, seramai 2.1 juta orang penduduk Gaza akan dipindahkan sebagai langkah perlindungan, tanpa memberikan perincian lanjut.
Netanyahu tidak menyatakan secara tepat jumlah wilayah yang akan ditawan oleh tentera, namun menegaskan bahawa "mereka tidak akan masuk dan keluar", menandakan rancangan kehadiran ketenteraan jangka panjang di Gaza.
Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Jeneral Eyal Zamir mengumumkan, operasi yang lebih intensif bermatlamat menghapuskan infrastruktur Hamas, termasuk terowong bawah tanah.
Strategi ini beralih daripada serangan sementara kepada penaklukan dan pengekalan wilayah sehingga Hamas dikalahkan atau bersetuju untuk melucutkan senjata dan berundur dari Gaza.
Pelan ini juga merangkumi pemindahan besar-besaran penduduk Palestin ke bahagian selatan Gaza, yang digambarkan oleh pegawai Israel sebagai kawasan yang telah dibersihkan daripada pejuang Hamas.
Langkah ini telah mencetuskan kebimbangan antarabangsa, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU) dan organisasi kemanusiaan mengecam tindakan tersebut sebagai pelanggaran prinsip kemanusiaan.
Pelan ini juga menghadapi kritikan dari dalam negara, termasuk daripada keluarga tebusan dan tentera simpanan, yang menyatakan bahawa tumpuan kerajaan terhadap penguasaan wilayah membahayakan nyawa.
Sementara itu, Menteri Keselamatan Israel, Zeev Elkin mencadangkan peluang untuk gencatan senjata dan rundingan tebusan masih terbuka sebelum lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke rantau ini minggu depan.
Namun, pelan ini telah mencetuskan kebimbangan mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, dengan lebih 52,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak konflik bermula 19 bulan lalu.
Selain itu, Kabinet Israel turut meluluskan secara prinsip pelan baharu untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan melalui syarikat swasta - satu langkah yang bakal menamatkan sekatan selama dua bulan ke atas penghantaran bantuan, yang menurut PBB, telah menyebabkan kekurangan makanan yang sangat teruk.
Namun, penghantaran bantuan kekal sangat terhad, memburukkan lagi krisis kemanusiaan, dengan PBB memberi amaran mengenai kekurangan yang bakal berlaku.
Setakat ini, Israel telah menguasai hampir 50 peratus kawasan Gaza selepas gencatan senjata antara kedua-dua pihak runtuh pada pertengahan Mac.
Sejak itu, serangan udara dan darat yang dilancarkan telah mengorbankan ratusan rakyat Palestin.
Sebelum gencatan senjata tamat, Israel turut menghentikan sepenuhnya kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, termasuk makanan, bahan api dan air.
Hamas telah mengecam tindakan ini sebagai "pemerasan politik", sementara organisasi bantuan mengutuk strategi Israel sebagai memaksa dan berbahaya.
Menteri kanan Israel dari kalangan sayap kanan seperti Bezalel Smotrich, memuji pelan ini sebagai langkah untuk menuntut semula Gaza dan menegaskan kedaulatan Israel di sana.
Konflik tercetus pada Oktober 2023 apabila pasukan pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut ke selatan Israel, mengorbankan 1,200 orang dan menculik kira-kira 250 tebusan.
Israel mendakwa, 59 tebusan masih berada di Gaza, namun dipercayai kira-kira 35 daripadanya telah meninggal dunia.
Sejak itu, serangan balas Israel telah menyebabkan lebih 52,000 kematian di Gaza, menurut pegawai kesihatan Palestin.
Kebanyakan mangsa dilaporkan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Namun, angka tersebut tidak membezakan antara orang awam dan pejuang bersenjata.
Gaza sebelum ini diduduki Israel sejak Perang Asia Barat 1967, tetapi tentera dan penempatan Yahudi telah ditarik keluar pada tahun 2005.
Dua tahun kemudian, Hamas mengambil alih pentadbiran Gaza dan terus menguasai wilayah tersebut hingga hari ini. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami