BAITULMAQDIS: Israel menahan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Mohammad Al‑Abbasi dari dalam perkarangan masjid itu setelah 222 peneroka Yahudi menceroboh kawasan berkenaan pada Isnin, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan menjelang Ramadan yang bermula minggu ini.
Dalam masa sama, Pihak Berkuasa Palestin (PA) memberi amaran bahawa Israel berpotensi meningkatkan ketegangan di kawasan Al‑Aqsa, yang terletak di bandar lama Baitulmaqdis Timur yang diduduki, khususnya ketika bulan puasa yang lazimnya menjadi tempoh sensitif dalam konflik Palestin–Israel.
Advertisement
250 individu dihalang masuk sejak Januari
Menurut Pentadbiran Wilayah Baitulmaqdis, pihak Israel menghalang sekurang-kurangnya 250 individu daripada memasuki Masjid Al-Aqsa sejak awal tahun.
Minggu ini, mereka turut menghalang Majlis Wakaf Baitulmaqdis daripada melakukan persiapan Ramadan termasuk pemasangan payung bagi perlindungan cuaca serta penubuhan klinik sementara, lapor agensi berita Wafa.
Lawatan provokatif ahli Knesset
Pentadbiran itu turut mengecam tindakan Ahli Knesset Israel, Amit Halevi, yang mengunjungi kawasan masjid pada Ahad dengan kawalan polis.
Lawatan itu digambarkan sebagai sebahagian daripada “rondaan provokatif” bersama kumpulan yang digelar “Pentadbiran Temple Mount,” tatkala meningkatnya desakan kelompok tertentu di Israel untuk mengubah status quo bersejarah di Al-Aqsa.
Halevi juga dilaporkan menggesa agar apa yang digambarkan sebagai ‘doa Yahudi’ diteruskan di lokasi itu sepanjang bulan Ramadan, tindakan yang mencabar peraturan tradisi lama mengenai hak ibadah di kawasan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan keselamatan Israel turut mengeluarkan arahan larangan enam bulan terhadap bekas tahanan Palestin merangkap pengawal Masjid Al‑Aqsa, Fadi Alyan, daripada memasuki kawasan masjid. - Agensi